Memaparkan catatan dengan label gardening..as i see it. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gardening..as i see it. Papar semua catatan

11 Oktober 2017

oh, cantiknya!

saya cuba berhenti daripada membeli orkid online. cuba sedaya-upaya.

akan tetapi hati saya tak dapat menahan, lutut longlai dan tangan menggigil-gigil tiap kali ternampak yang cantik-cantik.

parah sungguh.

14 September 2017

kenapa tak tunggu?

salah satu orkid hutan yang saya beli, berbunga tanpa saya sedar. alih-alih, sudah hampir layu.

ah, ralatnya!

08 Mei 2017

sudah tukar.

saya secara tidak sengaja terjoin fanpage fb peminat orkid dan natijahnya, saya jadi sasau mencari dan mencari menambah koleksi. baru saya tahu rupa-rupanya ramai penggemar orkid yang berjual beli secara maya namun tidaklah berorientasikan untung semata-mata.

saya juga sudah mula mencabar diri dengan membeli anak pokok yang belum matang dan orkid hutan. dua perkara yang amat saya takuti selama ini. mungkin ini namanya kemajuan ;)

saya suka perubahan dan kemajuan diri yang begini.

alangkah bagusnya kalau dalam kerjaya, sayapun berupaya berbuat begitu.
barulah rasa hidup lebih bererti. kan?

01 Mac 2017

orkid ada beribu-ribu jenis.

sanggup saya belajar lebih untuk tahu jenis dan cara menjaganya. rela saya letak sedikit duit poket untuk beli mana yang berkenan atau jarang dilihat. antara menguruskan orkid yang fragile (kata oranglah) dengan manusia, saya lebih suka pilih orkid. 

sekurang-kurangnya, orkid tidak hipokrit.

24 Ogos 2012

orhidoholics.

susah hendak berhenti bila sudah ketagih. ketagih mahu melihat spesis baru yang ada dijual. ketagih mahu mengumpul yang wangi-wangi. ketagih mahu ada yang pelik-pelik dan eksotik konon. ketagih mahu memenuhkan taman mini sejemput depan rumah. 

seolah-olah duit sekepuk setinggi gunung mahu menyambar semuanya.

31 Mac 2012

sukalah sangat.

sepertinya treasure hunt mencari kebun orkid satu ini yang menjadi sebutan ramai. bila ketemu, oh alangkah indahnya dunia. saya sambar lagi empat pokok. duit yang untuk pembelian kali ini nampaknya duit terselit yang sepatutnya untuk kes kecemasan sahaja. atau mungkinkah kegilaan orkid juga boleh jadi satu kes kecemasan? :mj

betullah tak kenal maka tak akan cinta. tetapi cinta ini perlu dihentikan buat sementara. ada cinta baru yang akan hadir dalam hidup kami dan ia jauh lebih bererti dan cantik sekali.

wahai orkid yang dijadikanNya sebegitu indah dan pemunya kebun-kebun orkid yang baik hati, tunggu hibernasi saya berakhir ya!

25 Mac 2012

tak banyak..

janji asal saya kepada kanda, hanya mahu menyambar dua pokok orkid. dua sahaja. akan tetapi sila beritahu saya, bagaimana hendak menahan diri jika dikelilingi kejadianNya nan indah sambil diiringi pekerja kebun yang pemurah memberitahu tips itu ini? saya sambar lima pokok.

lima sahaja.

26 Februari 2012

beli lagi!

sambar lagi tujuh jenis orkid! dan pulang ke rumah sambil di telinga terdengar-dengar lagu filem 'madu tiga'.

..aih, senangnya dalam hati, kalau beristri dua seperti dunia ana yang punya..

20 Februari 2012

kebun tak berapa besar di belakang rumah.

laman belakang, cadangnya kami (saya, sebenarnya..) mahu bina taman kecil tempat kami bersenang-senang pada hujung minggu. sambil itu, bolehlah menelek pokok yang ada. impian yang masih belum jadi kenyataan..

bila agaknya ya kanda? <3 <3 <3

19 Februari 2012

orkid oh orkid..

saya semakin gilakan orkid. kalaulah saya mampu dapatkan semuanya, alangkah.. saya mahu tahu semua lokasi nurseri orkid yang berdekatan!

hari ini, impian tercapai. terjejak juga kaki ke kebun orkid yang disebut-sebut dalam forum penggila orkid. saya sambar sepuluh jenis.. kalaulah (KALAU) poket masih tebal hujung-hujung bulan begini, entah-entah penuh kereta dengan orkid. tidak pasti pula yang mana orang yang mana pokok kalau dilihat sekali lalu ^_^

saya perlu bershopping pasu pula selepas ini..

07 Januari 2012

kebun kecil di sudut luar rumah.

tidak, membeli-belah bukanlah satu-satunya kegemaran saya - berkebun juga. sudah ada 16 jenis orkid, 4 jenis ros, 4 jenis bunga raya dan beberapa spesis pokok yang saya kurang pasti apa namanya. paling penting, hobi ini mampu membantu saya melepas tensi kerja.

oh, kadang-kadang bercakap dengan pokok bunga lebih menenangkan daripada bercakap dengan sekumpulan orang yang menyakitkan perasaan!

20 November 2011

berkebun dan bekerja.

berkebun mengajar banyak perkara.

konsisten itu amat perlu.. sabar, bersifat pelindung, rajin, mengurus dengan baik, sentiasa bertenang (walaupun sangat susah), melihat dengan dengan mata hati, teliti. mesti adil pengurusannya, walaupun ada pokok itu bunganya lebih cantik lebih besar lebih harum daripada yang lainnya. pendek kata, banyak pengajarannya untuk saya amalkan pula dalam bekerja.

pokokpun banyak memberi ruang untuk saya berfikir..

18 September 2011

cantas-mencantas.

secara tak sengaja, saya terpotong putik bunga orkid - kesayangan baru saya. tak tahu rupanya ada putik muda yang menanti untuk keluar dari kepompongnya menjadi bunga yang cantik mekar. kesalnya! kurang ilmu tentang orkid satu hal. mencantas satu keindahan itu satu hal lagi.

buat saya terfikir hal lain pula, serta-merta.

dalam kehidupan kerjaya, adakah orang-orang 'besar' yang ada kuasa berasa seronok mencantas anak-anak buah yang nampak lebih berkebolehan? cantasnya itu, kerana tidak tahu atau sengajakah? cemburukah? agak-agak, mereka ada rasa (sedikit) kesal jika pernah terbuat begitu? entahlah.

saya masih kesal tiap kali terpandang si orkid. lambat lagilah nampaknya mahu melihat bunga kuningnya mekar indah menghiasi laman. semoga dalam hidup saya, saya tidak mencantas sesiapa pula, semata-mata untuk berjaya.