Memaparkan catatan dengan label 'saya kini seorang mak' the series. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 'saya kini seorang mak' the series. Papar semua catatan

28 Februari 2018

ubat.

baru sahaja saya mahu menjerit mengingatkan anak-anak agar berhati-hati menaiki tangga yang basah licin, pwincess hero sudah tergelincir beberapa anak tangga siap sommersault lagi di hujungnya. menangislah dia tak sudah.

pantas saya bawa dia naik, baringkan dan sapu minyak urut di badannya. dek risau kalau-kalau dia mahu turun katil kerana lantai tingkat atas juga licin -- adik hero rajin benar mengemop satu rumah, maka sayapun berilah kebenaran dia tonton youtube kids.

"boleh ke?" tanyanya musykil, dengan sedu yang masih tersisa.
"boleh, sayang tengah sakit.. tak apalah," saya sambil senyum benarkan.

malam semakin larut, saya ingatkan dia supaya tutup telefon. masa untuk tidur. tahu apa dia kata?

"tapi sakit lagi.." sambil matanya tak lari tertancap di telefon bimbit saya.

.....

hmmm. dengan anak-anak saya ini, memang tidak boleh tersalah cakap.
sikitpun tak boleh salah cakap.

geram sekejap.

05 Oktober 2017

kamus istilah baharu.

pwincess hero sudah mula meniru-niru ragam abang-abang yang suka sangat berlari berkejar-kejaran di shopping mall. walaupun puas kami larang, nada tinggi kami umpama gurauan yang menaikkan lagi adrenalin anak-anak. sambil berlari laju meninggalkan kami, anak-anak ini masih sempat berpaling, mengandaikan kami sedang mengejar daripada belakang.

mak ayah sudah tua, tak larat tahu??

tadi, ketika saya mahu memesan cendol kegemaran, saya sudah pesan awal-awal. tak usahlah berlari. food court ini licin. apabila pwincess hero mengadu kakinya sakit, tergeliat sedikit, apa lagi sayapun mengambil peluang berleter dan mengungkit-ungkit pesanan saya kepadanya.

tahu apa jawabnya?

dia BILANG dia TIDAK berlari.
dia jalan je.

pulak.
berlari itu berjalan, ya?

23 September 2017

yalah, yalah.

pening kepala kanda melayan pe'el pwincess hero yang marah-marah. ini tak kena, itu tak kena. serba-serbi salah.

letih meneka, kanda tanya, "kenapa garang sangat ni?". dengan harapan, bolehlah memujuk anak dara nan saorang. lalu pwincess hero bilang, 

"bukan garang niiii... selsemaaaa!"
bersungguh-sungguh.

wahai anak. kalaulah nada kamu sebegitu hanya kerana selsema, mak tiripun akan takut juga, tahu tak?

18 September 2017

tak boleh!

seorang mak itu, ada masanya dia juga mahu take it slow, tidak mahu bergegas-gegas SETIAP pagi hari. terutamanya pagi Isnin. mahu malas-malas sahaja dan mengharap yang lain masih cergas tanpa perlu dileter, dijerit dikerah atau yang seumpamanya.

tak boleh. tak boleh.

buatlah begitu kalau mahu lihat satu rumah lewat bangun, lewat solat lalu lewat segala-galanya. sudahlah lewat, masing-masing bersiap ala lenggang-lenggang kangkung pula tu!

geram betullah.


12 September 2017

1, 2, 3, sayang semuanya.

senja tadi, adik hero bertanya, "mak, mak sayang siapa?" sambil menyebut namanya, abang hero dan pwincess hero. ditanyanya lagi, "yang mana mak sayang?"

saya yang baru usai solat Maghrib, terdiam sejenak; mahu mencari makna di sebalik soalan begitu. lalu laju saya tanya mengapa? lantas diulangnya soalan yang sama.. yang mana mak sayang?

saya tarik adik hero lalu peluk dia sambil berkata, "mak sayang semua sekali." dan cium pipinya. dia berlalu, ralit kembali dengan mainan; wajahnya penuh puas hati.

soalan ini memang berat dan perlu dijalin jawapannya penuh hati-hati disulami cinta, lillahi ta'ala. dalam hati seorang mak, tiada belah-bahagi kasih-sayang. semuanya dari rahim yang sama. semuanya ada lebih dan kurangnya berbanding yang lain. kalau dilihat sekali lalu, bukankah yang lebih dan kurangnya anak-anak itu datangnya daripada didikan mak ayah juga?

akan tetapi, munchkin mak yang bertiga; kalau kalian kurangkan lagi pe'el meragam lagilah mak akan sayang terlebih, tahu!

ha ha ha.

14 Julai 2017

geliganya.

adik hero bilang, dia sayangkan mak. sayalah tu.
kemudian laju dia tambah, dia mahu mainan dinasor.

pandai kamu ya, nak.

18 Jun 2017

runs in the blood.

pwincess hero mencuba tudung yang baru saya belikan sempena raya.
diapun bertanya, "ome tak?"

wow.
cara bertanya sama amat dengan mak.

banyak-banyaklah bersabar, ya ayah.

07 Jun 2017

hati seorang emak.

rindu pula rasanya pada abang hero.

04 Jun 2017

rindulah tu..

pwincess hero asyik bertanya perihal abang hero. 
maklumlah, dia lebih rapat dengan abang hero berbanding adik hero.

biar abang puas-puas bercuti, ya sayang?


03 Jun 2017

balik kampung yang tak jauh mana.

abang hero bercuti di rumah keluarga kanda. adik hero hanya mahu tinggal sehari. hari esoknya, dia mahu pulang bersama-sama kami.

mak harap abang hero berseronoklah di rumah nenek dan atuk, sambil bermain sepuas-puasnya bersama-sama sepupunya di sana.

29 Mei 2017

kalau dah rutin..

pwincess hero tidak dapat menerima hakikat mini runcit sebelah pejabat mak, tutup hari ini. ketika saya lambai tangan ucapkan selamat tinggal, sempat lagi dia bertanya makanan kegemarannya nasi lemak, "naci emak?" dengan riak muka yang tertanya-tanya. masih ada diplomasi tapi agak menuntut bunyinya. 

puas jugalah mahu terangkan, mini runcit tutup - tiada berjualan.
kan bulan puasa ni, nak?

rasa dihargai.

alangkah mudahnya mengurus makan minum abang hero. kalau yang saya masak kurang kena pada tekaknya, habis sepinggan nasi. kalau kena, habislah dua tiga. dapat benar dia akan perangai ayahnya.

in my defense, i am not a choosy eater, as well.

yang penting, apapun yang saya masak, itulah yang dia makan sambil memuji-muji, "sedapnya mak masak." entah betul sedapkah tidak, tetapi pandai benar dia menghargai maknya.

mak doakan supaya perangai kamu yang ini, berkekalan sampai bila-bila, nak.

26 Mei 2017

dari hotel kita ke pulau. jauh terdampar :D

ramadan bermula hujung minggu ini.

memandangkan minggu hadapan bekerja sudahpun bulan ramadan, saya fikir eloklah pagi ini saya belikan saja semua makanan kegemaran anak di mini runcit sebelah pejabat saya.  tempat saya inipun perlu berpindah lokasi pada minggu ketiga ramadan.  jadi, biarlah kali ini belikan saja apa yang anak mahu. 

selepas ramadan, pejabat mak ini sudah jauh terdampar di pulau ya nak. jangan nak berangan beli macam-macam lagi dah.

18 Mei 2017

pahit itu, ada masanya manis.

abang hero, sudah dua kali menghempas pintu kereta tanda protes kepada cikgu taska. hari ini, berlaku lagi. (h)angin saya jadinya. mana boleh dibiar berterusan! 

kali ini saya bilang, dia tidak boleh mengulangi perangai tidak elok begitu lagi. cukup! mak dan ayah memang akan keluar bekerja. dalam kami berdoa Tuhan jagakan mereka untuk kami, pada siapa dapat berharap lagi melainkan cikgulah harapan kami. oleh yang demikian, anak-anak saya WAJIB hormatkan cikgu, termasuklah yang di taska.

dalam diam dan menung abang hero sepanjang perjalanan pulang, sungguh, saya harap dia sedar yang kasih-sayang juga wujud dalam bentuk teguran pahit yang niatnya manis.

08 Mei 2017

bonding time

mengekek-ngekek gelak pwincess hero bila mak meniru-niru cara ayahnya berdengkur.  serombong kapal, bahasa rusia, bunyi tersedak air - bak kata ustaz syamsul debat, semuanya mak tiru.

dalam saya memerhati lenanya dia tertidur sesudah itu..
sungguh, irama tawanya masih terngiang-ngiang indah di telinga.

06 Mei 2017

dah agak dah..

"saaaaayang mak," ujar adik hero seraya memeluk erat saya. 
senyum penuh manis dengan gigi yang (sedikit) rongak.

"sayanggg abang juga. tapi ada apa ni?" saya mengangkat kening, seolah-olah sudah dapat membaca isi hatinya.

"nak beli game, mak.." balasnya dengan senyum yang sengaja dimaniskan lagi, sehingga hampir tertutup matanya.  dihulurnya tablet, sambil bercerita dia telah 'buang' game yang itu yang ini supaya boleh beli yang begitu begini.

05 Mei 2017

cepat sembuh, ya sayang!

pwincess hero sudah demam berhari-hari. kejap reda, kejap panas kembali. selama itu jugalah, saya tidak lena tidur malam. kalau tertidur, risau ya amat kalau-kalau yang bukan-bukan terjadi nauzubillah.

ada alat mekap yang boleh tutupi mata panda saya ini, tak?



p/s: kasihan panda. dia tidak bersalah. tidurnya cukup bagaimana sekalipun, begitulah azali matanya.

30 April 2017

kegembiraan anak.

selama ini yang saya perlu tinggal di hotel membawa bersama-sama orang kesayangan saya, tidak sekali para hero dibawa ke kolam renang melempias gembira.  kali ini saya katakan pada kanda, agenda utama ialah to let the kids have the utmost fun. mak ayah perhatikan saja ;)

sudahnya, anak-anak tidak mahu pulang. 
aduh, pening kepala jadinya!

kami melawan penat dan kantuk setelah makan tengah hari, cadangan kanda untuk singgah ke taman buaya saya sambut setuju sahaja. pada orang dewasa, apalah yang ada pada taman buaya. pada anak-anak, ia amat bermakna.

dan apalah sangat penat kita ini - menjadi tiada apa-apa, dek melihat mata anak bersinar penuh rasa puas.

17 April 2017

cucuk dua tahun, yang terlewat.

marah benar pwincess hero, mak biarkan dia dicucuk acik misi.

sementara menunggu, dia asyik marah-marah, "dahhhh, dahhhh," sambil mengajak mak balik. silap maknya juga - kenapalah saya berbisik beritahu dia akan dicucuk seperti kawan-kawan lain yang keluar daripada bilik khas. ingatkan supaya dia boleh bersedia lebih awal. dahulu dengan abang-abangnya, saya ada beritahu awal-awal dan abang-abang dapat lalui dengan baik. anak dara nan saorang ini, berbeza.

sampai ke malam, marahnya masih bersisa. langsung tidak mahu dengan mak. asyik berkepit dengan ayah.

eoklah nak. lenalah mak tidur malam ni. ha ha.

27 Disember 2016

anak adalah anugerah terindah yang (mungkin) kita lupa untuk hargai.

abang hero sudah jarang bermanja dengan saya, akhir-akhir ini. sebenarnya, saya yang salah. saya yang jarang manjakan dia.  sejak dia masuk sekolah dan menjadi abang kepada dua adik; iya dua, saya seolah-olah lupa yang dia masih anak kecil yang perlu peluk manja dan kasih-sayang.

jadi, bila dia malam-malam mahu tidur sebelah saya, saya biarkan saja. dia mahu baring di atas riba saya ketika dalam kereta, saya biarkan juga. setiap kesempatan, dalam saya usaha untuk selesaikan tanggung jawab menyiapkan semua perkara sebelum keluar rumah bekerja, saya ambil masa untuk bantu dia bersiap dan sisirkan rambut biar kemas. saya asyik ingatkan diri supaya memandang matanya ketika dia bercakap dengan saya. bukan memandang telefon. saya ingatkan diri saya, agar mencium dahinya setiap kali dia ujarkan kata-kata manis bak gula. 

sepatutnya, saya tidak biarkan sahaja dia. dia masih lagi perlukan perhatian. bukankah sebab dia - si sulung, saya ini bergelar seorang mak? gelaran paling indah di dunia? saya asyik ingatkan abang hero, dia anak sulung. sudah besar. yang saya lupa ialah dia masih anak kecil saya - sentiasa akan begitu, saya yang sudah dewasa ini yang sepatutnya jadi contoh yang baik kepada dia dan adik-adiknya.

ada masanya, saya sudah tidak pasti lagi. 
mampukah saya menjadi seorang mak yang sempurna di mata anak-anak?