26 Oktober 2011

ada perkara tidak boleh langsung dibuat perbandingan.

anak itu adalah amanah dan tanggungjawab. penawar duka dan penyebab gembira. bukan untuk dijadikan perkara untuk dibesar-besarkan atau pertandingan - siapa lebih letih, siapa lebih stress, siapa lebih patut memahami, siapa lebih bertuah, siapa lebih sibuk, siapa lebih itu ini. oleh yang demikian, tolonglah jangan asyik membanding-banding atau berlawan berapa jumlah anak kamu berbanding orang lain.. bunyinya saja sudah tidak elok.

berapapun bilangan anak yang kita ada, itu adalah pilihan sendiri DAN rezekiNya.. dan apakah yang lebih bahagia selain dapat membuat pilihan dan mendapat pula apa yang kita mahu?

24 Oktober 2011

setiap satunya ada kisah tersendiri.

sekarang, setiap kali jam melepasi waktu tengah hari boleh buat hati gundah-gulana tidak menentu. semua tenaga seolah-olah hilang. fokus terbang entah ke mana. kepala mula rasa pening dan dalam perut ada bot terumbang-ambing dilanda ombak besar.

hendak muntah tidak boleh, hendak rehat tidak dapat.. hendak bekerja (dengan gigih, kononnya) apatah lagi.

saya asyik saja mengira-ngira, bilalah agaknya hormon saya akan stabil kembali..

22 Oktober 2011

baru sekarang..

sebenarnya, kalau tidak mengalami sendiri sesuatu perkara itu, memang mulut mudah benar berkata-kata. bila sudah terkena batang hidung sendiri barulah terdiam kerana tersedar sendiri.

saya tidak akan bersuara. saya tahu kamu sendiri lebih tahu sekarang, sebab dan alasan saya bersikap sebegitu dahulu.

20 September 2011

mahu jadi apa nanti?

agak kesal melihat anak-anak muda yang malas mendalami ilmu sementara masih muda dan bertenaga. sedangkan jalan mereka itu, masih amat jauh lagi. sepatutnya, peluang menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin sangat perlu bagi menyediakan diri sebelum mahu berada di kerusi bos yang empuk (kononnyalah). tidaklah nanti hanya tahu mengarah-arah sambil hebat mempraktikkan ilmu tai chi semata.

bukan taichi yang untuk kesihatan itu ya. ini tai chi yang melempias arahan dari atas ke anak buah kerana malas bekerja lebih walaupun pangkat dan gajinya lebih.

saya juga harap saya tidak menua dalam kejumudan yang hanya membinasakan diri..

18 September 2011

cantas-mencantas.

secara tak sengaja, saya terpotong putik bunga orkid - kesayangan baru saya. tak tahu rupanya ada putik muda yang menanti untuk keluar dari kepompongnya menjadi bunga yang cantik mekar. kesalnya! kurang ilmu tentang orkid satu hal. mencantas satu keindahan itu satu hal lagi.

buat saya terfikir hal lain pula, serta-merta.

dalam kehidupan kerjaya, adakah orang-orang 'besar' yang ada kuasa berasa seronok mencantas anak-anak buah yang nampak lebih berkebolehan? cantasnya itu, kerana tidak tahu atau sengajakah? cemburukah? agak-agak, mereka ada rasa (sedikit) kesal jika pernah terbuat begitu? entahlah.

saya masih kesal tiap kali terpandang si orkid. lambat lagilah nampaknya mahu melihat bunga kuningnya mekar indah menghiasi laman. semoga dalam hidup saya, saya tidak mencantas sesiapa pula, semata-mata untuk berjaya.