28 Februari 2018

ubat.

baru sahaja saya mahu menjerit mengingatkan anak-anak agar berhati-hati menaiki tangga yang basah licin, pwincess hero sudah tergelincir beberapa anak tangga siap sommersault lagi di hujungnya. menangislah dia tak sudah.

pantas saya bawa dia naik, baringkan dan sapu minyak urut di badannya. dek risau kalau-kalau dia mahu turun katil kerana lantai tingkat atas juga licin -- adik hero rajin benar mengemop satu rumah, maka sayapun berilah kebenaran dia tonton youtube kids.

"boleh ke?" tanyanya musykil, dengan sedu yang masih tersisa.
"boleh, sayang tengah sakit.. tak apalah," saya sambil senyum benarkan.

malam semakin larut, saya ingatkan dia supaya tutup telefon. masa untuk tidur. tahu apa dia kata?

"tapi sakit lagi.." sambil matanya tak lari tertancap di telefon bimbit saya.

.....

hmmm. dengan anak-anak saya ini, memang tidak boleh tersalah cakap.
sikitpun tak boleh salah cakap.

geram sekejap.

15 Januari 2018

permulaan baharu.

saya melapor diri di tempat baru, hari ini. 
lama benar saya menunggu. sudah setahun.

alhamdulillah.

03 November 2017

cita-cita dan impian kena selari.

sebabnya, kita saja yang mahu berada di sini.
orang tak ingin pun pada kita.

ala-ala terhegeh-hegeh.

marilah mengejar cita-cita dan impian lain yang lebih bermakna.

11 Oktober 2017

oh, cantiknya!

saya cuba berhenti daripada membeli orkid online. cuba sedaya-upaya.

akan tetapi hati saya tak dapat menahan, lutut longlai dan tangan menggigil-gigil tiap kali ternampak yang cantik-cantik.

parah sungguh.

05 Oktober 2017

kamus istilah baharu.

pwincess hero sudah mula meniru-niru ragam abang-abang yang suka sangat berlari berkejar-kejaran di shopping mall. walaupun puas kami larang, nada tinggi kami umpama gurauan yang menaikkan lagi adrenalin anak-anak. sambil berlari laju meninggalkan kami, anak-anak ini masih sempat berpaling, mengandaikan kami sedang mengejar daripada belakang.

mak ayah sudah tua, tak larat tahu??

tadi, ketika saya mahu memesan cendol kegemaran, saya sudah pesan awal-awal. tak usahlah berlari. food court ini licin. apabila pwincess hero mengadu kakinya sakit, tergeliat sedikit, apa lagi sayapun mengambil peluang berleter dan mengungkit-ungkit pesanan saya kepadanya.

tahu apa jawabnya?

dia BILANG dia TIDAK berlari.
dia jalan je.

pulak.
berlari itu berjalan, ya?