jangan putus asa, ok?
27 Februari 2024
panas membahang.
alangkah sedihnya melihat tanaman kami hampir kering, setelah lima hari ditinggalkan sementara kami balik kampung. walaupun telah dipasang dengan alat penyiram self irrigation, tidak cukup sementelahan cuaca yang teramat panas membahang sekarang. dalam remuk hati, saya minta abang hero siram habis, biar basah sepenuhnya semuanya. dengan harapan, esok pagi masih ada yang boleh diselamatkan. banyak juga yang perlu dimula kembali, tidak sangka kesannya sebegitu.
22 Februari 2024
sejemput.
kebun herba kami di belakang rumah, bukanlah sebesar mana. cumanya ada pelbagai jenis sayur dan herba yang dapat ditanam, setakat ini cukup menjadi pelengkap menu utama kami. benih yang belum tersemai juga masih banyak, sakan benar saya membeli di Shopee tempoh hari.
setakat ini, saya berjaya tuai pak choy, kailan manis, salad, lada benggala, serai, daun kunyit, daun bawang, daun kari, daun salam dan daun limau purut beberapa kali. bahagia sungguh cuma perlu ke belakang dan petik setiap kali memasak. tak sabar nak melihat hasil variasi tomato dan cili, on the way kata urang Minang.
macam jamie oliver pulak rasanya.
alhamdulillah.
20 Februari 2024
hangus yang lain.
tempoh hari, bukan setakat kenangan pahit terbakar. kulit muka dan tangan saya pun hangus sama. sudah bertukar warna haha! habis rosak kering semuanya. seiring dengan usia yang tambah menua, kesan kulit terbakar ini semakin mengambil masa untuk dirawat. sudah berhari-hari saya menyapu krim itu-ini melegakan pedih yang masih tersisa. bagi seorang yang kurang rajin, saya agak terbeban jugalah dengan rutin penjagaan sebegini.
akan tetapi, janganlah dilayan malas kalau mahu kelihatan sedikit muda daripada umur sebenar kan? lagi satu, krim berbotol-botol ini untuk apa? pameran? pakai, jangan membazir.
16 Februari 2024
magik.
hari ini, saya mahu pastikan kebun "sebaris jemput" belakang rumah disusun atur molek, pasu kosong diisi tanah, buluh penyokong siap dipancang, semua benih disemai di ruang kosong dan pokok dibaja secukupnya. perlu bebaskan diri daripada menelaah dan pusing kepala yang tidak kesudahan, sekejap.
fokus sungguh sampai tak sedar sudah tengah hari. kulit sudah pedih menahan perit dek terik matahari tegak atas kepala, tapi masih tak terasa mahu berhenti. tenggelam dalam asyik, sambil kepala masih (degil) belum berhenti tetap memikir itu-ini.
entah kenapa, tiba-tiba terimbas beberapa kenangan pahit buruk yang membelenggu selama ini, payah benar nak hilangkan. entah kenapa pula, tiba-tiba semuanya bertukar menjadi helaian kertas yang mengering lantas terus terbakar. satu demi satu hangus menjadi debu berterbangan, hilang dibawa angin.
ajaib betul.
nampaknya, kenalah lebih rajin berkebun selepas ini.
to a better me ahead!
29 Januari 2024
entah apa-apa.
kita yang duduk di atas-atas, tak usahlah sewenang-wenangnya melabel pegawai bawahan itu-ini, semata-mata mahu memuaskan prasangka emosi masing-masing. mentang-mentanglah hidup (mungkin) kurang masalah, janganlah disamakan tahap kerunsingan orang, semua dipukul rata. mentang-mentanglah hidup sudah stabil dan kurang ragam anak-anak sudah membesar. kita kata anak buah, entah-entah kita ini lebih teruk lagi. tambahan lagi kalau kita tidaklah sehandal anak-anak buah dalam bekerja. kita sesedap mulut men'downgrade' anak buah -- demi menutup kelemahan diri, melabel mereka tidak perform yadayada. kita sudah hebat sangatkah? walhal hidup dalam insecurities yang menjengkelkan. buanglah habis perangai narsistik yang mencomotkan peribadi, janganlah menekan mereka yang bukan-bukan. apa kamu ingat kuasa itu kekal sampai mati? kita pencen nanti tidak ada yang sudi memandang, tahu?
kita yang duduk di bawah-bawah, tak usahlah sewenang-wenangnya mengutuk bos-bos kita begitu begini pula. mencaci gaji bos pun ada. eh, jangan ditunjuk berlangaunya hati kita. entah-entah ada bos yang tidak tidur malam memikir jalan penyelesaian, berkorban masa dan raga sampai terabai kesayangan. kita 1/2 jam sebelum sudah siap menunggu mahu tekan cap jari, padahal sudah rehat hampir dua jam SETIAP tengah hari. belum dikira masa bersarapan lenggang-lenggang kangkung bagai itik pulang petang. bila tiba bab bayar yuran kelab pejabat, sedap menenyeh bos dengan yuran mahal tidak munasabah. padahal yang banyak dapat faedah, kita. ingat perut sendiri cuma. buat kerja rasa terlebih saja, sudah mula membanding-banding kadar tenaga dengan bos. asal terasa bijak sedikit, dilekehkannya bos. aduh, miskin jiwa betul. entitled sungguh!
loya sangatlah dengan manusia sebegini.
kamu tahu atau tidak,
orang yang gembira tidak huduh kelakunya sebegitu?
dah.
pergi bawa mulut dan hati jahat kamu jauh-jauh.
meluat aku.
Langgan:
Catatan (Atom)