22 Februari 2013

jiwa yang tandus harus disegar kembali.

ketika Allah kurniakan rezeki lebih melalui kenaikan gaji yang bolehlah dikata banyak juga, kanda pesan saya ini janganlah asyik bersoping saja. perlahan saya khabarkan kanda, saya mahu ke sana. ceruk dunia yang indah manapun takkan mampu menandinginya. soal cepat atau tidak, tolak ke tepi. yang penting, rezeki itu untuk kembara ke sana.

lantas apabila jemputan ke sana dikirimNya secepat ini saya sambut dengan perasaan bercampur-baur. syukur dan gembira termakbul hasrat. gusar dan bimbang dek kurangnya ilmu di dada. banyak urusan berkaitan dilaksanakan dalam keadaan mengah terkejar sana-sini. kerja yang ada perlu diberes sedapat tidak. tiba-tiba, masa saya berputar lebih pantas dalam kitaran biasa orang lain.

ini kembara jiwa saya dan kanda. yang datang tepat pada masanya. saya kata ini kembara membawa diri - sayu bunyinya, maka besar sangat harapan saya Dia bawa kami sejauh ini untuk jadi hambaNya yang lebih baik daripada yang sebelumnya. tingginya harapan saya mahu melihat perjalanan kekasihNya berjuang membawa kebenaran. supaya dapat saya 'pinjam' walau sedikit dalam menghadapi perjuangan diri. ya Allah, permudahkanlah urusan kami. tingkatkanlah keimanan kami. sucikanlah hati kami. hilangkan aib kami. kuatkanlah semangat kami. berkatilah jemputanMu ini.

labbaikallahumma labbaik. kami datang, ya Allah..

14 Februari 2013

pilihlah yang lebih mudah.

mengubah dan memperbaiki diri sendiri lebih mudah daripada kita bersusah-payah mahu mengubah orang lain. malah memberi banyak faedah dan manfaat kepada diri kerana kita sentiasa sedar kelemahan kita dan berusaha untuk jadi lebih baik.

saya tak lebih sekadar mahu mengingatkan diri sendiri saja :i

08 Februari 2013

sila nyah sang 'anai-anai'. kamu jahat.

sama ada:

(i) dia itu seorang yang sangat menyakitkan hati, jiwa kacau, tidak cerdik, ignorant, perasan bagus, bercelaru, suka provokasi tak tentu, perasaan tak tenteram, gemar cari pasal dan yang seangkatan seumpama dengannya :@ 

atau 

(ii) benteng ketahanan mental dan tahap kesabaran saya semakin lemah dimamah 'anai-anai' jahat - tidaklah seampuh kukuh yang saya sangka :/

saya syak yang kedua itu. 

indahnya hari ini.

mungkin sebab esok cuti. mungkin sebab dapat pulang ke kampung halaman.
mungkin juga sebab dengan tak disangka, gerai jualan di pejabat berderet tersusun menanti saya menjenguk.

ah, indahnya hari ini!