ketika Allah kurniakan rezeki lebih melalui kenaikan gaji yang bolehlah dikata banyak juga, kanda pesan saya ini janganlah asyik bersoping saja. perlahan saya khabarkan kanda, saya mahu ke sana. ceruk dunia yang indah manapun takkan mampu menandinginya. soal cepat atau tidak, tolak ke tepi. yang penting, rezeki itu untuk kembara ke sana.
lantas apabila jemputan ke sana dikirimNya secepat ini saya sambut dengan perasaan bercampur-baur. syukur dan gembira termakbul hasrat. gusar dan bimbang dek kurangnya ilmu di dada. banyak urusan berkaitan dilaksanakan dalam keadaan mengah terkejar sana-sini. kerja yang ada perlu diberes sedapat tidak. tiba-tiba, masa saya berputar lebih pantas dalam kitaran biasa orang lain.
ini kembara jiwa saya dan kanda. yang datang tepat pada masanya. saya kata ini kembara membawa diri - sayu bunyinya, maka besar sangat harapan saya Dia bawa kami sejauh ini untuk jadi hambaNya yang lebih baik daripada yang sebelumnya. tingginya harapan saya mahu melihat perjalanan kekasihNya berjuang membawa kebenaran. supaya dapat saya 'pinjam' walau sedikit dalam menghadapi perjuangan diri. ya Allah, permudahkanlah urusan kami. tingkatkanlah keimanan kami. sucikanlah hati kami. hilangkan aib kami. kuatkanlah semangat kami. berkatilah jemputanMu ini.
labbaikallahumma labbaik. kami datang, ya Allah..