27 Disember 2016

anak adalah anugerah terindah yang (mungkin) kita lupa untuk hargai.

abang hero sudah jarang bermanja dengan saya, akhir-akhir ini. sebenarnya, saya yang salah. saya yang jarang manjakan dia.  sejak dia masuk sekolah dan menjadi abang kepada dua adik; iya dua, saya seolah-olah lupa yang dia masih anak kecil yang perlu peluk manja dan kasih-sayang.

jadi, bila dia malam-malam mahu tidur sebelah saya, saya biarkan saja. dia mahu baring di atas riba saya ketika dalam kereta, saya biarkan juga. setiap kesempatan, dalam saya usaha untuk selesaikan tanggung jawab menyiapkan semua perkara sebelum keluar rumah bekerja, saya ambil masa untuk bantu dia bersiap dan sisirkan rambut biar kemas. saya asyik ingatkan diri supaya memandang matanya ketika dia bercakap dengan saya. bukan memandang telefon. saya ingatkan diri saya, agar mencium dahinya setiap kali dia ujarkan kata-kata manis bak gula. 

sepatutnya, saya tidak biarkan sahaja dia. dia masih lagi perlukan perhatian. bukankah sebab dia - si sulung, saya ini bergelar seorang mak? gelaran paling indah di dunia? saya asyik ingatkan abang hero, dia anak sulung. sudah besar. yang saya lupa ialah dia masih anak kecil saya - sentiasa akan begitu, saya yang sudah dewasa ini yang sepatutnya jadi contoh yang baik kepada dia dan adik-adiknya.

ada masanya, saya sudah tidak pasti lagi. 
mampukah saya menjadi seorang mak yang sempurna di mata anak-anak?