23 Oktober 2008

melankolik [ii]

melihat kembali gambar-gambar semasa di perantauan dulu membuat hati terusik dan termenung mengimbau kenangan lama. entahlah akan berulang kembali tidak. kerana pahit masih terasa. katanya Friedrich Nietzsche, what doesn't kill us, make us stronger. betulkah? jadi lebih numb, zombi dan letih yang amat, adalah.

aih.. bulan ini memang penuh dengan melankolik. entah dek masih dalam mood beraya, atau mata sakit (yang semakin berkurangan)..atau dek teringat-ingat ajakan avaz, sahabat yang masih berjuang di sana. katanya, marilah datang dan menyambung perjuangan. bukankah saya perlu kembangkan lagi kerja yang belum selesai itu? ditambah usikan prof Jerman kacak bergaya, sudah tiada orang datang menjenguk bertanya khabar di petang-petang hari, seperti selalunya untuk 2 tahun sebelumnya.

saya rindukan bunga ceri yang berkembang mewarnai alam seawal musim bunga. dan snowflakes yang pelbagai bentuk memutihkan bumi. serta dedaun maple yang mengering tanda musim luruh bakal menjengah. benar-benar rindu..

tapi saya ada hidup baru di sini. sayapun perlu melangkah terus ke hadapan membawa semua kenangan buat pedoman dan pengajaran. hati sarat dengan kenangan, namun akal memukul kesedaran agar berpijak di bumi nyata. harapnya, segala pengalaman yang dikutip mampu mematangkan saya..selain sangat membantu saya mengawal perasaan berhadapan dengan kata-kata tidak seronok didengar semenjak pulang bertugas di sini.

atau mungkin saya jadi melankolik, kerana sudah tidak selantang dulu? saya kini lebih suka melihat dan memaksa diri berfikir. walaupun selalu juga telinga merah menahan kata-kata tidak menyenangkan. entah kenapa manusia selalu mahu cemburu. selalu mahu nampak lebih mengatasi. selalu mahu memijak kepala orang lain untuk naik ke atas. ada masanya saya mahu saja berkata. saya bukan saingan kamu. kita dalam satu pasukan. dan saya rasa bodoh untuk bertikam lidah dengan kamu. saya tidak peduli kalau kamu lebih hebat itu ini daripada saya. jauh di sudut hati saya, saya yakin dengan kemampuan sendiri. yang nyatanya kamu takutkan bayang-bayang kamu sendiri.

manusia ini.. macam-macam.

sambil kenangan berputar ligat silih berganti, sungguh, saya jadi melankolik lagi..