23 Mei 2017

ada sinar di hujung jalan. insyaAllah.

biar saya berterus-terang sahaja.

sejak saya ke tempat baharu, memang saya tiada apa yang boleh dibuat melainkan membaca sehingga sudah sampai tahap jemu. setiap hari juga, saya menjadi sangat berkira-kira mahu ke pejabat. kalau berkira sesekali itu, biasa mudah untuk diatasi. ini tidak.

saya sudah sampai pada satu tahap yang saya mahu saja ambil cuti tanpa gaji. sayapun sudah malu juga asyik bertanya skop tugas. macamlah saya ini bagus sangat, beria-ia meminta kerja. tetapi jika orang lain sibuk benar dan sangat sayangkan kerja mereka, apalah yang mampu saya buat lagi? jadinya, kerja secara runcit sajalah. dipanggil mesyuarat, saya datang. buat saja apa yang disuruh. in a way, this is such a waste, considering that my post is a management post! saya cuba juga bergerak sendiri, tetapi nampaknya cara itu tidak berkesan di sini. masuk kandang kambing, mengembek. bukan?

agak malang kerana sebenarnya, inilah bidang yang saya mahu dalami sejak 4, 5 tahun yang lalu! tertunda-tunda sejak diminta menguruskan pentadbiran bahagian, kemudian bahagian kami dilenyapkan seterusnya saya 'tercampak' membuat tugas-tugas penilaian permohonan teknikal yang tiada henti.

dalam keadaan begini, apakah kegembiraan yang dibawa oleh berita yang saya baru terima? adakah ini jawapan kepada semua doa yang saya panjat kepadaNya selama beberapa bulan ini?

semoga jalan yang ditunjukkanNya selepas ini membawa lebih banyak kebaikan dan rahmat dalam hidup saya dan orang tersayang. amin.