skip to main |
skip to sidebar
buat para penggemar produk kecantikan, kota Seoul mungkin syurga dunia bagi kamu. sana sini wanitanya sangat menitikberatkan kecantikan dan fesyen. walaupun ada masanya saya merasakan deria fesyen mereka agak .., oh, saya tidak boleh menulis perkataan yang tepat di sini. menariknya, obsesi ini membawa kepada terhasilnya rekaan tempatan. dan produk kecantikan ala-ala 'Body Shop' acuan mereka sendiri. banyak sungguh, kalau mahu tahu. antara yang memikat hati saya ialah jenama theskinfood dan thefaceshop. menggunakan sumber semulajadi. dengan harga berpatutan di bawah 10,000W (won), semua yang perlu saya cari ada di dalam satu kedai. cawangannya merata-rata, hatta di stesen subway. paling membuatkan saya seronok meninjau-ninjau ialah cara produk-produknya dipakejkan. setanding dengan produk luar negara, malah lebih kreatif dan praktikal. yang penting: harga berpatutan. kalau dibandingkan dengan taraf hidup di sinilah.. sikap tidak pernah selesa dengan 'kerusi empuk di punggung' perlu dicontohi. boleh dikatakan ada sahaja rangkaian baru diperkenalkan bagi meneroka pasaran baru.
saya melihat senario ini sebagai usaha Korea meningkatkan ekonomi di dalam negara sendiri. pengajaran daripada zaman kemelesetan ekonomi, barangkali. ya, inilah satu-satunya negara yang mampu bangkit dalam jangka masa singkat sejak menjunamnya ekonomi Asia tahun 1990-an dahulu. dan muncul menjadi 'gergasi' dalam banyak bidang hari ini.
bukan barangan kecantikan sahaja. rekaan barangan elektronik, perabot dan pelbagai lagi turut membuatkan saya terliur. kemas, dan cantik. tanpa meninggalkan aspek praktikal. nyata, mereka membuat kajian sebelum memulakan langkah menghasilkan sesuatu. mereka rela menghabiskan peruntukan untuk R&D supaya lebih mudah merencana perjalanan dan tidak berundur sebaik sahaja mengorak langkah.
inilah yang saya paling suka. teliti, kreatif dan berdaya saing. di tanah air, bila lagi ya? saya yakin, kita pun mampu..