sistem pengangkutan awam di sini sangat cekap. belum pernah saya perlu menunggu melebihi 10 minit. 5 minit pun dirasakan terlalu lama. jika tidak mahu menaiki bas, nah, stesen subway hanyalah sepelaung. aman betul hidup saya. hati tidak bengkak menunggu-nunggu. agaknya, ini kesan gaya hidup di sini. selalu ingin bercepat-cepatan dalam urusan seharian. setiap masa bergegas. ada saja yang dikejar. sila maklum: saya pun sudah begitu. lebih pantas dari saya yang dahulu ;)
cara pemanduan bas atau teksi? awal-awal dahulu, selalu saja darah saya tersirap. umpama belut mencelah di sela-sela rumput sungai. lajunya! kusss semangat! turun semua darah saya.. anehnya, kebarangkalian untuk berlaku kemalangan sangat rendah. tahap berjaga-jaga para pemandu di sini amat tinggi. fokus dan sentiasa bersedia.
saya juga mula belajar berjalan terhuyung-hayang melawan momentum bas dan subway tanpa perlu memegang palang. itu kemahiran yang penting. maklum sajalah, siapa yang lambat: pintu bas dan subway tidak menunggu! sekali tertutup, ya, perjalanan akan diteruskan. sila fokus pada destinasi yang ingin dituju. jangan jadi seperti saya. selalu saja tersalah turun. dahululah...
saya kan sudah menjadi sebahagian di sini. saya tidak mahu tertinggal. saya pun mahu bergegas-gegas juga!