matahari terbit seawal jam 5 pagi. mata spesis jaga awal macam saya tidak boleh lelap bila hari sudah terang. maka pada pukul 9 pagi pun sudah terasa setengah hari berlalu. bila Krishna, si Nepal yang suka tersenyum itu mengucapkan 'good morning', saya terdiam sekejap. 'good morning'nya dibalas sambil mata terkilas pada jam tangan, ragu-ragu. eh, masih pagi ya?
tamat semester ini pada minggu hadapan, bermakna cuti makin hampir. selepas itu, insyaAllah, semester yang terakhir buat saya. saya sudah tidak sabar untuk meninggalkan tempat ini (selama-lamanya, kalau boleh) mengikut jejak rakan² lain yang sudah graduate. melihat Nagi bersusah-payah mengusahakan thesisnya untuk tamat semester ini sudah cukup menggerunkan. terasa seolah-olah melihat masa depan sendiri.. saya tidak tahu, apakah saya akan mampu untuk menjadi sekuat dan sesabar dia.
saya cuma harap, masa depan kami, adalah secerah musim panas di bumi Seoul..