01 Ogos 2025

seorang mak ialah role model bagi anak perempuannya.

anak-anak perempuan seharusnya dididik supaya berupaya membuat keputusan sendiri, ada pendirian dan teguh jati diri. bukan hanya menyerah habis pada ketentuan takdir tanpa berbuat apa. dia seharusnya berupaya menentukan yang terbaik untuk dirinya, untuk semua hal dalam kehidupan.

dunia ini survival for the fittest. jangan kalah pada kelakuan yang jahat dan meloyakan tekak. kita tak dapat sempurna 100% sepenuhnya, tapi kita boleh berusaha menjadi seorang yang memperbaiki diri setiap hari. ada masa kita tersadung dan jatuh bergolek-golek, yang utama ialah kita wajib bangun semula dan bersemangat kembali. carilah kebahagiaan dunia akhirat. lillahi Ta'ala.

mak-mak sekalian, kuatlah!

31 Julai 2025

rezeki bukan datang bergolek.

paling tak faham bila ramai mak pak sibuk benar menyuruh-nyuruh anak-anak berkahwin, terus beranak cepat-cepat. semua nak ekspres. macamlah anak itu robot, boleh disuruh itu-ini sesuka hati. 

kalau lambat dapat anak, mulalah mengomel. dah kamu sibuk sangat nak dengar suara anak kecil dalam rumah, beranaklah sendiri! kalau lambat jodoh, habis dipaksa-paksa mencari atau terima pilihan yang ada. anak lelaki disuruh kahwin, biar ada yang meneman. apa, kamu ingat bininya nanti jadi orang gaji melayan anak kamu yang dah besar panjang tak reti jaga diri? habis mana fungsi kamu sebagai mak pak yang wajib mendidik anak dulu-dulu tu? lagi satu, anak perempuan pun harus dilatih supaya berani berpendirian, jangan hanya ikut-mengikut saja yang dia tahu.

biarlah kesayangan kita ini, hidupnya dirancang sendiri. bukan orang lain, hatta kita yang atur-aturkan. berkahwin dan beranak, memanglah akan membuka pintu rezeki. akan tetapi rezeki bukan datang bergolek, kita harus berusaha bersungguh-sungguh kemudian berserah terus bertawakkal kepadaNya.

28 Julai 2025

lihatlah pinggan kamu sedalam-dalamnya.

ketika kamu asyik membilang apa yang ada dalam pinggan saya, kiranya kamu sangat terlupa melihat ke dalam pinggan sendiri.

satu perkara sangat pasti, saya tidak berminat dengan pinggan kamu.
pinggan saya sendiri sudah cukup seadanya dan menarik berwarna-warni.

27 Julai 2025

bukan tandingan.

sebenarnya, kamu tidak perlu rasa insecure, lebih-lebih lagi dengan orang seperti saya.

kalau kamu rasa kamu lebih hebat daripada saya, silakan.
betullah tu, saya tidak setanding kamu.
saya ini manusia biasa, banyak kurang.
kalau diibarat kepada kain, saya sudah compang-camping bertampal sana-sini.
kain kamu mungkin sutera mahal, cantik terletak. cukuplah, tak perlu kamu nak berlawan-lawan dengan saya.

kenal lama tak semestinya kenal hati luar dalam, kan?

25 Julai 2025

lari!

kadang-kadang, kita ini berusahalah menjauhi sesetengah orang. bukan apa, kita tegar mahu menjaga ketenangan hati. gigih mahu memastikan tenaga tidak terbazir melawan rasa tidak seronok.

saya mahu lari jauh-jauh,
biar gelombang negatif tidak dapat menangkap.