30 Jun 2022

makcik kepochi.

hari ini baru hari pertama di makmal. tetapi saya sudah pun mengejar adik cleaner untuk menyapu, membersih dan mengemop lantai makmal kami. saya dengar, dahulu makmal kami ini sangat berdebu, suram dan tiada orang datang. kini sudah ada saya dan seorang sahabat Sudan saya, dia mengkhusus dalam bidang Data Raya. elok sangatlah kalau makmal ini meriah kembali kan?

kemudian, saya kejar pula Unit ICT untuk pastikan pencetak berfungsi molek. dibilang sama saya, pencetak itu sudah berabad lamanya begitu, tiada peruntukan. tidak mengapa, biar saya menulis e-mel kepada pejabat am pentadbiran untuk gantikan yang baru.

makcik kepochi betullah.
demi kebaikan semua juga.

mula berlari.

hari ini, rasmilah sudah saya mempunyai meja sendiri di makmal. syukurlah sudah ada workstation sendiri. bolehlah bergilir-gilir ke makmal dan perpustakaan selepas ini. walaupun tidaklah sebesar mana, tetapi memadai untuk saya untuk baki 39 bulan sahaja lagi.

ayuh, kita mula berlari!

28 Jun 2022

kawasan baru.

hari ini, saya terjumpa satu kawasan khusus untuk pelajar kertu seperti saya. selama ini tak perasan, mata hanya fokus ke bangunan utama sahaja. suasana di sini lebih tenang, amat terang dek penuh tingkap dan capaian internet juga jauh lebih pantas berbanding duduk di kawasan anak-anak muda di aras 2 itu.

cumanya, susah sikitlah nak menyamar adik-adik di sini. automatik dipanggil 'kakak', namapun kawasan pelajar pasca ijazah.

oklah tu kalau dipanggil 'kakak'.
padahal umur tu, kira sudah layak dipanggil 'makcik'.

20 Jun 2022

ke mana masa itu pergi?

rasa macam baru saja mendaftar semalam.
hari ini sudah dikira minggu ke-14.
semua deadlines semakin menghantui, serabut betul rasanya.

masa memang tidak akan berundur mahupun berhenti..