18 Disember 2006

yang sebenarnya.

saya bayangkan, jika musim salji, cuacanya muram. sedih dan sunyi. cuma putih salji mengubat kemurungan hari. tidak. matahari masih memancar terang. sangat bersinar. hairan juga. seolah-olah memberi harapan supaya saya masih terus bertahan di sini. ya, saya mohon kekuatan daripadaNya.

saya main perang salji dengan rakan-rakan. maklumlah, pengalaman pertama. 'darat' sekejap. seronok melihat wajah masing-masing bertompok salji. dan badan saya habis juga bermandi salji. kerana saya yang memulakan. maka semuanya membalas bertubi-tubi serentak. oh, saya tidak mengalah. makin besar bebola salji yang saya lontarkan. habis basah baju bila salji mencair.
puas sungguh rasanya. barulah tenang untuk kembali menyiapkan kerja yang belum sudah.

saya tergelincir 2 kali pagi ini. sengalnya terduduk di atas jalan raya masih terasa. Bukan saya saja, yang lain juga sama. saya sorok tawa saya. rasa malu hilang. kalaulah yang biasa bersalji-saljian pun boleh tergelincir jatuh, apatah lagi saya yang pertama kali ini bukan? ;)

17 Disember 2006

seputih bumi yang menghampar.

saya bangun lewat pagi ini . Subuh dinasour :(.. terus otak ligat berfkir, sebelum saya berjuang dengan tugasan saya, eloklah saya membersihkan dapur. buang sisa-sisa makanan. dan sebaik membuka pintu, mata terbuka luas. salji! sudah tebal menutup bumi. ah, melonjak-lonjak perasaan saya.

sebelum ini, hanya suhu sejuk menjadi petanda musim. padahal matahari sangat terang benderang. sudahnya musim salji yang sebenar telahpun bermula. sebagaimana yang saya pernah katakan, perasaan jadi sangat tenang.. pure, kata orang putih.. salji yang mencair juga akan membuatkan jalan-jalan menjadi licin. saya pernah tergelincir ketika salji turun renyai-renyai dahulu. rupanya kasut but tidak cukup melindungi. saya patut pinjam kasut orang Eskimo di Kutub Utara nun. barulah selamat, kan.

oh ya. jangan ingat adanya salji, saya boleh bersukaria. sehingga rabu ini, saya tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman. cumanya, saya agak tenang sekarang. dek putihnya salji yang tebal menghampar menutupi bumi.. sungguh suci dan murni.

13 Disember 2006

taksub.

akhir-akhir ini, saya sangat taksub dengan tugasan-tugasan. motivasi saya supaya cepat siap ialah saya akan dapat pulang bersukaria ke tanah air 2 minggu lagi. eh, tak sampai 2 minggu. yieha!

saya sangat tamak. kalau boleh, semua sumber artikel dan jurnal penting saya mahu muatturun. sehinggalah satu hari, profesor German kacak bergaya mengenyit mata biru kehijauannya dengan penuh makna mengingatkan, saya tidak mungkin punya cukup masa untuk segala-galanya. lagipun saya cuma ada 2 tahun, dan setahun sudah berlalu. yang penting, katanya, saya tahu hala tujunya dan perlu fokus untuk itu. sambil mengangkat kening ala ziana zain, saya merungut perlahan.. apa yang dia mahu saya buat pun memerlukan saya membaca berbagai-bagai topik yang berbeza. kalau tidak, hai.. saya tidak akan dapat mengeluarkan idea sendiri. saya cemburukan dia. idea-ideanya sentiasa segar dan tersendiri. paling menarik, dia sangat merendah diri dan riang-ria orangnya. paling tidak seronok, bersempena cuti ini, dia mahu saya membuat kajian dan menyiapkan paling kurang 2 jurnal. apa? "holiday is holiday, sir," gumam saya. dia hanya senyum dan saya tahu bukan mudah untuk mengubah pemikirannya. rasa saya, dia cemburukan kami dapat bersenang-lenang tetapi dia perlu pulang ke negaranya untuk mengajar.

apapun, saya tidak peduli. saya mahu pulang. berehat-rehat. makan sepuas hati. melupakan semua tekanan dan hambatan yang ada. dan saya perlu siapkan dahulu semua tugasan ini. aih~..