30 Disember 2010

tumpang sama.

walaupun saya tidak minat bola sepak, tetapi saya tumpang gembira bila pasukan negara menang. lebih-lebih lagi, dengan kemenangan itu, dapat pula saya tumpang cuti dan buat hujung minggu jadi lebih lama dan menyeronokkan.

24 Disember 2010

mahukan yang terbaik.

bos yang baik mengharapkan yang terbaik daripada anak buah mereka. berkongsi inspirasi dan aspirasi yang sama. bukan setakat memerah tenaga kemudian mengabaikan kebajikan anak buah. bos juga perlu jadi ikutan yang baik, walaupun tidak sempurna. dalam perjalanan kerjaya yang masih panjang, saya berharap saya dapat belajar yang baik-baik, cukup segala segi hendaknya..

supaya sayapun boleh dijadikan ikutan yang baik juga.

20 Disember 2010

nak lagi..

sesekali membeli-belah menghadiahi diri sendiri memang seronok.

yang kurang seronoknya, ia seakan-akan menyebabkan ketagihan pula.. :f

17 Disember 2010

silalah memahami.

kesihatan anak antara keutamaan semua mak ayah di dunia. kalau terpaksa cuti, cutilah. apa nak buat.

yang buat kepala pusing bila orang di pejabat yang tidak mahu faham walaupun pernah ada anak kecil satu ketika dahulu. yang tidak mahu bertolak-ansur dan menyoal yang tidak-tidak di belakang. bila berdepan muka, manis pula percakapannya. bos yang lain jantina pula lebih bertimbang rasa.

saya berharap, bila saya di atas nanti, saya tidak mengikut acuan mereka yang tidak berhati perut ini.

16 Disember 2010

cepat sangat.

one moment, you may think they are still small and fragile, very dependent on you. the next moment, they are all grown up, ready to face the world on their own.

sentimental sikit akhir-akhir ni sejak saya dapati si hero semakin besar dan semakin pandai berdikari dalam dunianya sendiri.

30 November 2010

november pun berlalu.

tiada apa yang menarik bulan ini kecuali perihal saya membeli-belah sakan beg tangan, swingpack, wristlet dan wallet baru. sayapun tidak tahu kenapa saya suka sangat dengan jenama 'jurulatih' yang satu itu sehingga termembeli sakan sebegitu rupa, serta membuatkan akaun bank dan poket saya menyusut dengan drastiknya.. *sigh*

saya tahu kanda sangat pening dengan pembelian saya kali ini.. :O *sengih kerang busuk*

26 November 2010

malu.

perasaan yang tebal bersarang setiap kali selepas berjumpa big boss ialah rasa hormat yang semakin meninggi dan tenang kerana nasihat dan panduannya banyak meringankan beban dalam kepala. juga ada malu.

malu kerana masalah berat saya ini sangat mudah diselesaikannya dek banyaknya pengalaman dan ilmu dia. malu kerana masalah yang dia hadapi sebenarnya jauh lebih berat dan tekanannya lebih juga berbanding saya. malu kerana tidak dapat meluahkan sepenuhnya apa yang berbuku, bimbang perasaan saya itu sebenarnya remeh saja dibandingkan apa yang dia perlu selesaikan. malu kerana ilmu saya cetek sangat, ilmu dia banyak tetapi dia tetap merendah diri. malu kerana dia tetap menerima kelemahan anak buahnya (terutama saya) dan cuba sedaya-upaya supaya melihat yang elok-elok saja pada anak buahnya. malu melihat sabarnya dia membimbing semua anak buahnya penuh berhemah umpama bapak mahu terbaik daripada anak-anaknya.

saya berharap, bila mana saya menjadi orang besar seperti dia satu hari nanti, nilai-nilai ini akan saya bawa bersama juga..

31 Oktober 2010

hati sudah lama berkenan.

sudah lama saya menunggu, memerhati, meminati dan memandang dari jauh saja. hari ini dapat memegang, menguji dan berangan memiliki.

jika ada rezeki, insyaAllah akan menjadi milik saya juga. minggu ini.

25 Oktober 2010

dalam lingkungan duniamu.

anakanda im the hero, sejak sudah besar sedikit ini, ada sahaja yang mahu dibuatnya. ada sahaja yang diusiknya. ayahnya sibuk mengemas, dia sibuk juga 'mengemas' dalam definisinya sendiri. saya sibuk mengetuk itu ini, dia sama menyelitkan diri di celah barang yang ada.

"adventurous sangat. too much adrenaline," saya mengomel. "macam mak dia," sambut kanda. iyolah tu kanda :P

tetapi bila si hero tidur, dunia rasa sangat sepi. masa tidak bergerak dalam sempadan dunia saya. kerana segenap bumi saya telahpun 'ditelan' dan bersepadu dalam dunia si hero. rindu. saya menjadi penanti yang setia sehinggalah matanya terbuka dan sekelip mata, dunia sayapun tunggang-langgang kembali...

:)

19 Oktober 2010

tempat baru.

perpindahan besar-besaran di tempat kerja membuatkan saya kini sudah ada bilik sendiri. walaupun kecil berbanding orang lain, didapati sangat ramai yang tidak senang duduk kerana pemandangan dari meja saya sangat cantik, malah perkara yang remeh-temeh juga telah menjadi bahan yang boleh dicemburui. sekali lihat, tak ubah seperti anak kecil membentak mahukan gula-gula kapas walaupun lahiriahnya masing-masing sudah sangat berusia dan seharusnya berkelakuan matang.

buat hati saya agak panas, pun ada.

apapun, bilik ini sangatlah istimewa. semoga tempat baru memberi semangat baru juga. Amin.

18 Oktober 2010

dalam lubuk hati yang dalam ada rasa kecewa.

adalah menjadi satu kekecewaan yang besar bila mana keinginan saya untuk menjadi ibu yang baik seolah-olah tidak dihargai dan dipandang enteng. malah produk yang ada banyak bahan tiruan, kimia berbahaya dan yang seumpamanya lebih menjadi pilihan bagi menggantikan apa yang telah ada.

adakah masa dan usaha yang saya curahkan tidak memberi walau sedikit makna?

15 Oktober 2010

kerjalah kerja!

tuntutan kerja membuatkan saya perlu terbang ke malaysia timur sepanjang seminggu yang sudah.

dan buat poket saya juga sama 'terbang'...

09 Oktober 2010

kejunya ada rasberi.

sedap kek yang adik saya daddy dan mummynya syasya belikan sempena menyambut hari saya bertambah usia. pak icut rizal pun ada. anakanda im the hero tekun menikmati rasa baru keju yang ada rasberi, sambil disuap kakak syasya dengan penuh kasih sayang.

agak-agak tahun ini kanda akan hadiahkan apa ya? oh, saya sebenarnya mahukan droidpad. bolehkah? ;)

10 September 2010

seperti tahun-tahun yang sudah.

pagi-pagi sudah riuh di dapur. menyiapkan apa yang belum siap. anakanda im the hero pun mahu sibuk-sibuk sama. jam lapan, semua sudah sibuk mahu ke masjid. kalau tak solat sunat aidilfitri, rasa tak raya pula. tapi sudah dua tahun saya hanya memerhati tak dapat turut sama ke masjid..tahun lepas masih dalam pantang. tahun ini, alahai, si hero asyik melekap saja tak mahu berenggang.

sesi bergambar sudah pasti ada selepas pulang dari masjid. yang penting, mak dan abah yang atok dan neneknya si hero asyik tersenyum melayan cucu-cucu. senyum tambah lebar bila dapat duit raya. hari raya kami tetap meriah kerana keluarga yang sedia ada semakin bertambah saban tahun. seronoknya..

boleh tak saya beraya di kampung saya setiap tahun? seperti biasa? *mata kelip-kelip*

09 September 2010

sudah satu tahun.


cerita 1.
selamat ulang tahun yang pertama buat anakanda mak, si hero yang sentiasa melekat namanya di hati.

kamu tahu tak, mata mak tak boleh lelap selepas kamu lahir. mak takut nanti mak terhimpit kamu kalau-kalau tertidur. boleh saja letak kamu dalam tempat kamu tapi mak rasa tak sanggup jauh dari kamu. sepanjang malam, mata mak tak berkelip merenung kamu dalam-dalam. bau kamu wangi sangat. saiz kamu kecil sangat. mak kembang hati sangat-sangat. tak percaya melihat kamu sudah ada di depan mata.

pada hari ini setahun yang lepas, dari mula mak melihat kamu, mak sudah jatuh hati. pada hari ini, setelah setahun berlalu, hati mak masih jatuh lagi..


cerita 2.
a year of motherhood.
and living every second of it
.

30 Ogos 2010

selama yang mampu.

artikel ini buat saya rasa sangat terharu.. saya mahu ada perasaan itu selama mana yang saya mampu.

23 Ogos 2010

puasa yang-yuk.

maknya bergegas-gegas menyiapkan sahur, dia pun mahu bergegas-gegas sama. mak ayahnya duduk di meja mahu bersahur, diapun sama mahu bersahur. kembang sangat hatinya dapat duduk seperti orang sudah besar..

bezanya si hero puasanya berbuka awal daripada semua orang. jam 7.30 pagi sudah sibuk mahu menyusu sambil berbaring-baring sebelah mak. seperti maknya tidak perlu bersiap-siap ke pejabat.

20 Ogos 2010

jangan lemah semangat.

membaca blog-blog menceritakan perihal susu badan ialah susu terbaik untuk bayi, memang memberi motivasi dan menguatkan azam supaya gigih berusaha sehingga si hero berusia dua tahun.

walaupun cabaran dan halangan sentiasa ada. walaupun keadaan sekeliling dan orang terdekat selalunya merupakan faktor utama yang mampu meruntuhkan semangat yang tak seberapa wajanya. walaupun poket agak rabak membeli vitamin-vitamin dan apa saja makanan yang mampu membantu kelangsungan bekalan. walaupun ada masanya, kata-kata melemahkan jiwa yang selalu dilontar buat lidah saya bereaksi lepas dan sangat tajam membalas serangan.

walau apapun yang saya telah dan akan hadapi. saya mesti gigih dan sentiasa berusaha!

18 Ogos 2010

mengelat.

alahai anakanda Im the hero buah hati kesuma jiwa. selepas ini, mesti makan ubat betul-betul ya. tidak boleh mengelat lagi. batuk yang ada belum sembuh-sembuh lagi. manakan tidak. asal si hero ini terlihat saya atau kanda mula menuang ubat, cepat-cepat dia merangkak pergi jauh-jauh. sambil membebel-tiada-butir-langsung-tidak-boleh-difahami. drama sungguh..

tapi puan doktor beritahu kami, boleh letak ribena sedikit.. "boleh cover rasa ubat," katanya lagi.

hmm. lepas ini, mak dan ayah pula mahu mengelat. demi kebaikan si hero juga.

15 Ogos 2010

tatih.

antara saat manis yang ditunggu-tunggu semua emak dan ayah ialah saat si manja mula bertatih belajar berdiri sendiri dan melangkah dikit-dikit.

punyalah bersorak, bagai di dalam stadium menonton perlawanan bola jua layaknya.

13 Ogos 2010

berjaya!

satu pencapaian yang membanggakan bila mana masuk ke dalam butik tudung yang penuh dengan godaan, kemudian keluar daripadanya dan berjaya menahan diri tidak membeli.

;-)

08 Ogos 2010

jatuh.

cuti-cuti melaka buat saya shopped till i dropped. dan buat saya menjadi penanti yang setia.

kepada hari gaji, sudah tentu.

01 Ogos 2010

muat.

bila jeans lama sudah muat kembali, tipulah kalau mak orang ini tak gembira. kakiku ini kelemahan terbesarku. bukan senang mahu mencari jeans yang saya suka. dan sesuai.

bolehlah guna duit yang itu untuk yang lain *mata kelip-kelip*

29 Julai 2010

kalah.

saya manusia biasa yang selalu kalah dengan kelemahan sendiri. tetapi saya akan berusaha sedaya-upaya untuk mengeluarkan diri daripada kekalutan yang sedang ada ini.

28 Julai 2010

apa nak dihairankan?

makin berumur, maknanya makin matang dan rasional dari banyak segi. maklumlah, banyak makan garam kata orang. ini tidak, semakin melulu tindakan dan semakin rencong hati. yang betul mahu ditidakkan kerana yang dipegang ialah apa yang dia percaya semata-mata.

sampai bilakah orang-orang sebegini akan dibiarkan berleluasa?
?

09 Julai 2010

buah hati kesuma jiwa.

anakanda im sudah 10 bulan hari ini! tiap kali melihat wajah manis anakanda im the hero, amannya perasaan. walaupun ragamnya semakin boleh-tahan-juga-sampai-bisa-buat-mak-naik-angin, saya selalu ingatkan bahawa si hero ini adalah antara anugerahNya yang paling terindah dalam hidup. lebih-lebih lagi bila si hero membuat aksi manja-manja yang buat mak lembut hati dan cair seperti alex mack. cumanya alex mack mencair jadi cecair perak. mak cair dalam hati saja ya nak.

namanyapun buah hati kesuma jiwa.

03 Julai 2010

kita ke genting, ya!

sesekali bercuti dengan keluarga, seronok juga. walaupun hanya di Genting Highlands, tapi apalah salahnya kan. boleh berseronok dengan anakanda-anakanda, main itu main ini, petik strawberi, ataupun duduk-duduk saja sambil bersembang-sembang di apartmen menikmati suasana sejuk, pun sudah memadai.

13 Jun 2010

pada ulang tahun kedua cinta.

sudah dua tahun mengikat cinta dan kini dengan anakanda im the hero di sisi, hidup rasa makin sempurna. doa saya semoga cinta ini akan terus kukuh dan kasih sayang akan sentiasa berpanjangan. kalaupun bila umur semakin meningkat buat rupa saya berkedut seribu dan potongan badan lari ke sana-sini, harapnya kanda tetap bahagia di samping saya dan menerima saya seadanya.

ada banyak turun naik pasang surut dalam hidup kita, ya kanda yang-bertahkta-di-hati. tidak tergambar apa lagi yang akan berlaku pada masa akan datang. harapnya dengan segala rencah hidup yang kita alami akan buat kita semakin mengenal dan saling melengkapi sesama kita.

yang penting, dua tahun yang sudah memang tersangatlah berwarna-warni..

24 Mei 2010

ada benda asing.

ada benda asing pada muka mak dan ayah. agaknya itu yang bermain-main dalam fikiran anakanda Im the hero.

minta-minta mata si hero tak akan rabun seperti mak dan ayah ya.. tidaklah perlu setiap masa berkaca mata.

21 Mei 2010

lestari setiap pagi.

bukannya susah sangat hidup dengan saya. hanya perlu pantas sedikit.

sedikit saja..

20 Mei 2010

saya kini seorang mak (ep. 07)

manisnya senyuman anakanda im saat melihat mak dan ayah muncul di pintu mahu mengambilnya pulang ke rumah. habis hilang semua tekanan, letih dan perkara-perkara lain yang sinonim dengan perkataan 'pejabat'.

itu ubat penenang yang paling berkuasa setakat ini.

04 Mei 2010

saya kini seorang mak (ep. 06)

sudah seminggu anakanda im muntah dan cirit-birit. sudah tiga kali jugalah dibawa berjumpa doktor. kali ketiga, setelah diberi ubat antibiotik oleh puan doktor yang baik hati, barulah sakitnya reda. ujian darahnya juga normal. sudahlah sayapun sama tidak sihat. buat saya terasa amat kerdil kerana tidak mampu menjaga si hero. benar-benar harus bergantung pada kanda.

alhamdulillah, pagi ini si hero bangun dengan riang. selepas ini, saya mesti lebih berhati-hati dengan cara pemakanannya. kisah kanak-kanak terhidrasi akibat cirit-birit sebenarnya sangat mengganggu perasaan. lebih-lebih lagi, sebelum itu tiada tanda sakit si hero mahu berkurangan. kacau sungguh jiwa jadinya.

saya memanjat doa kepadaNya, agar si hero saya senantiasa dilindungi dan diberkati. dikurniakan kesihatan yang baik. dan doa itu untuk kami, mak dan ayahnya juga. Amin.

12 April 2010

hatinya menangis tak berair mata.

kenapalah anak yang masih kecil tidak berdaya lagi tidak berdosa dibuang sebegitu, sepertinya nyawa sudah tiada harga.

11 April 2010

jerung lawannya buaya.

kisahnya itulah maksud nama surabaya. walaupun butik-butiknya tidaklah semeriah di bandung, saya tetap seronok membeli-belah sambil berlibur. rekaan batik surabaya dalam fesyen kontemporari sangat memikat. buat hadiah untuk kaum keluarga yang tersayang.

dalam berwarna-warni dan teraturnya kota surabaya, hati penuh rindu terkenang anakanda yang jauh di mata..

04 April 2010

sunyinya mencengkam.

dari saat kaki melangkah masuk ke rumah, segala-galanya sunyi. still, kata orang putih. masa pun berjalan sangat panjang, terlalu perlahan. kanda dan saya terus mengemaskan beg dan menyimpan barang-barang kembali ke tempatnya. agak letih dek perjalanan pulang dari kampung. malampun berlalu seperti tatih anak kecil yang baru belajar berjalan. sedikit, sedikit.

anakanda Im the hero, sebaliknya, sedang bergembira di kampung halaman. dikelilingi uwonya, atoknya. kak long niarnya, dengar khabar, tidak mahu pulang ke rumah aki. semuanya dek penangan adik im, yang kini menjadi raja di rumah atok dan uwo. kak long niar niar bimbang adik im akan pulang ke putrajaya tanpa sempat dia bermanja-manja.


oh, tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya mengenangkan si hero jauh di mata. dan kalaulah mak dan ayah si hero inipun boleh join sama berehat-rehat bersama-sama anakanda di sana.. alangkah!

16 Mac 2010

hakikat.

kebelakangan ini, cakap-cakap orang perihal si hero sangat membuatkan ayahnya susah hati. nampaknya tempias khabar angin yang didengar dan mahu dinafikannya semakin menjadi-jadi, malah semakin mendapat sokongan ramai adanya. ayah si hero tidak sanggup lagi mendengar cerita yang padanya palsu. tidak benar. mereka bercerita wajah si hero semakin menyamai saya emaknya. sudah tidak ada trademark ayah..

terima sajalah kebenarannya, kanda :)

11 Mac 2010

beza, memang beza.

antara perasaan mempunyai keyakinan diri yang-tinggi-menggunung dan angin bongkak yang-tak-ingat-dunia memang ada beza yang tersangatlah ketara.

cuma masa sahaja yang akan menentukan.

05 Mac 2010

rela kupujuk.

si hero semakin manja sekarang. tidurnya mengiring-dan-mesti-ditepuk-tepuk-di-punggung. malam-malam mahu menyusu, dicakar-cakarnya kita sambil memandang mengharapkan mata saya terbuka. terserlah pandangan manjanya dalam cahaya samar. walaupun mengantuk, hati saya tetap cair..

semalam si hero meragam. naik bingung kanda yang-bertakhta-di-hati. itu salah, ini salah. terus kanda malas melayan ragam si hero. si hero, melihatkan ayah merajuk, terus terdiam. dikuis-kuis rambut dan belakang ayah supaya memandangnya kembali. saya yang melihat tidak tertahan mahu ketawa.

kecil-kecilpun, si hero sudah tahu memujuk ya?

04 Mac 2010

cebisan yang di sana dan di sini.

hidup saya tersangatlah berterabur sepanjang 2-3 minggu ini. kerja-kerja di pejabat jadi tunggang-langgang. keadaan di rumah pula seperti tidak dipeduli berabad lamanya. malam-malam pula selalu tertidur tanpa menyiapkan barang-barang-ke-taska anakanda Im the hero. sudahnya pagi-pagi yang sedia-sibuk-umpama-disaster-recovery-day menjadi semakinlah huru-hara.

perasaan sangat bercelaru dan terganggu. seperti terperangkap dalam kabus tebal, tidak tahu bagaimana untuk melepaskan diri padahal nafas semakin sesak dan pandangan semakin gelap.

berikan saya vacuum cleaner. yang berkuasa tinggi. saya mahu sedut semua kekalutan dan buang habuk-habuk keserabutan ini jauh-jauh.

03 Mac 2010

seadanya.

sejak kanda kata kanda sayangkan saya lima tahun dulu, hidup saya menjadi sangat berbunga-bunga daripada biasa. dan sejak kanda datang dalam hidup saya, saya lebih faham makna kompromi walaupun saya selalu mahu menang. dua manusia yang sangat berbeza memang memerlukan banyak pengorbanan, persefahaman, masa, pujuk-memujuk, rajuk-merajuk, cinta yang mendalam.. pendek kata, banyak bagailah yang perlu ada.

seperti memasak rendang daging. banyak bahan-bahannya. rempah ratusnya. santannya. kalau tidak, manakan enak segala segi.


kanda, terima kasih kerana menerima saya seadanya.

01 Mac 2010

hatinya ada benci..

kacang yang bersalut coklat memang enak dimakan.

hati yang bersalut benci, tidak.

25 Februari 2010

dalam hidup ini.

sebagai manusia yang biasa, pasti ada banyak kekesalan pada perkara yang sudah-sudah. disebabkan jarum jam tidak pernah berpatah balik pusingannya - hidup juga, maka perlulah berjalan terus ke hadapan sambil menelan pahitnya rasa kesal itu.

tetapi, saya pula manusia yang terlalu biasa. saya rasa sangat terdesak mahu mengulangi masa yang saya tidak perlu risaukan apa-apa dalam hidup. lebih-lebih lagi bila berdepan dengan keadaan sekeliling yang sangat mementingkan diri dan terus-menerus melukakan hati.

walaupun saya akui, melihatkan wajah anakanda Im the hero menyebabkan saya rasa saya sudah tidak perlukan apa-apa lagi. rasa cukup, sudah.

kita patah balik bersama-sama, ya nak..

19 Februari 2010

drama biasa di hujung minggu.

isteri : minggu ni kanda jangan lupa bayar hutang.
suami : hutang apa?

isteri : tu..dah berkurun lama dah tak bersental bilik-bilik air tu..
suami : kotor ke?

isteri : kotor dah..

suami : saya tak nampak pun kotornya bilik air kita ni. bersiiiiihhhh je?


isteri terdiam.

isteripun mengambil berus dan mula memberus sinki.


isteri : tengok? tadi macam hitam. sekarang dah berkilat. ini baru bersih, ye.


dan suamipun mulalah menyental bilik air.. sambil dalam hati berkata, "cerewetnya...".


mungkin.

10 Februari 2010

saya kini seorang mak (ep. 05)

kalau di pejabat, bila saja terdengar suara anak kecil di mana-manapun, serta-merta saya akan teringatkan anakanda Im the hero dan buat hati tidak tahan mahu segera pulang memeluk si hero dan bermain-main dengannya. seperti orang gila bayang jua layaknya.

saya syak masyam bau peluh si hero telah menjadi ubat pengasih kepada maknya ini..

05 Februari 2010

wajahku terbahagi dua.

walaupun hati berasa sangat belas kasihan tetapi ada masanya saya tetap mahu berkata "padan muka".

04 Februari 2010

tidak berminat.

hati saya tidak berminat dengan hati kamu yang busuk itu. kamu cari saja hati-hati orang lain untuk kamu dan puak-puak kamu sakiti.

ada banyak lagi hal penting yang saya mahu lihat dan fikir.

27 Januari 2010

kecewa.

you disappoint me. and i want to give up on you.

02 Januari 2010

pendek kata.

semua emak-emak dan ayah-ayah di dunia akan merasakan anak merekalah yang paling comel, paling cerdik, paling hebat, paling ceria, paling itu.. paling ini. pendek kata, paling semua-yang-baik-baik-sahajalah.

saya dan kanda juga tidak terkecuali.