16 Mac 2010

hakikat.

kebelakangan ini, cakap-cakap orang perihal si hero sangat membuatkan ayahnya susah hati. nampaknya tempias khabar angin yang didengar dan mahu dinafikannya semakin menjadi-jadi, malah semakin mendapat sokongan ramai adanya. ayah si hero tidak sanggup lagi mendengar cerita yang padanya palsu. tidak benar. mereka bercerita wajah si hero semakin menyamai saya emaknya. sudah tidak ada trademark ayah..

terima sajalah kebenarannya, kanda :)

11 Mac 2010

beza, memang beza.

antara perasaan mempunyai keyakinan diri yang-tinggi-menggunung dan angin bongkak yang-tak-ingat-dunia memang ada beza yang tersangatlah ketara.

cuma masa sahaja yang akan menentukan.

05 Mac 2010

rela kupujuk.

si hero semakin manja sekarang. tidurnya mengiring-dan-mesti-ditepuk-tepuk-di-punggung. malam-malam mahu menyusu, dicakar-cakarnya kita sambil memandang mengharapkan mata saya terbuka. terserlah pandangan manjanya dalam cahaya samar. walaupun mengantuk, hati saya tetap cair..

semalam si hero meragam. naik bingung kanda yang-bertakhta-di-hati. itu salah, ini salah. terus kanda malas melayan ragam si hero. si hero, melihatkan ayah merajuk, terus terdiam. dikuis-kuis rambut dan belakang ayah supaya memandangnya kembali. saya yang melihat tidak tertahan mahu ketawa.

kecil-kecilpun, si hero sudah tahu memujuk ya?

04 Mac 2010

cebisan yang di sana dan di sini.

hidup saya tersangatlah berterabur sepanjang 2-3 minggu ini. kerja-kerja di pejabat jadi tunggang-langgang. keadaan di rumah pula seperti tidak dipeduli berabad lamanya. malam-malam pula selalu tertidur tanpa menyiapkan barang-barang-ke-taska anakanda Im the hero. sudahnya pagi-pagi yang sedia-sibuk-umpama-disaster-recovery-day menjadi semakinlah huru-hara.

perasaan sangat bercelaru dan terganggu. seperti terperangkap dalam kabus tebal, tidak tahu bagaimana untuk melepaskan diri padahal nafas semakin sesak dan pandangan semakin gelap.

berikan saya vacuum cleaner. yang berkuasa tinggi. saya mahu sedut semua kekalutan dan buang habuk-habuk keserabutan ini jauh-jauh.

03 Mac 2010

seadanya.

sejak kanda kata kanda sayangkan saya lima tahun dulu, hidup saya menjadi sangat berbunga-bunga daripada biasa. dan sejak kanda datang dalam hidup saya, saya lebih faham makna kompromi walaupun saya selalu mahu menang. dua manusia yang sangat berbeza memang memerlukan banyak pengorbanan, persefahaman, masa, pujuk-memujuk, rajuk-merajuk, cinta yang mendalam.. pendek kata, banyak bagailah yang perlu ada.

seperti memasak rendang daging. banyak bahan-bahannya. rempah ratusnya. santannya. kalau tidak, manakan enak segala segi.


kanda, terima kasih kerana menerima saya seadanya.

01 Mac 2010

hatinya ada benci..

kacang yang bersalut coklat memang enak dimakan.

hati yang bersalut benci, tidak.