20 November 2012

ada garisan yang tipis antara sanggup dengan tidak.

wahai adik-adik yang masih muda dan jalan masih panjang. masa inilah kamu perlu bekerja kuat belajar teroka semua perkara. yang baik-baik saja, maksud saya. bukannya membina tembok tebal keliling diri daripada ilmu dan pengalaman yang baru. amalan kebal daripada ilmu itu tidak berguna hanya merugikan kamu saja. 

luaskan pandangan. setiap yang ada di muka bumi ini walaupun sangat kecil dan kelihatan tidak penting sebenarnya mampu membuka mata dengan ilmu dan pengalaman baru yang sangat berharga. semuanya hanya dapat dicapai bila kita sanggup merendah diri, membuka pemikiran dan berlapang dada. serta bersyukur dengan setiap kurniaanNya.

berapa banyak sanggupnya kamu berbuat begitu?

19 November 2012

idaman sejak berkurun lama.

orang perempuan kalau tak melengkapkan gadget dapur, memang tidak sah. ikutkan hati, semua mesti dilengkapkan sekaligus. hari ini sudah berjaya menyambar ice cream maker. dengan harga yang tidak disangka! oh saya mahu lompat bintang berkali-kali! :star

saya harus mencari resepi aiskrim pulalah ya..


18 November 2012

cuti panjang tak pernah cukup..

cuti lama manapun tiada makna jika dihabiskan dengan mengemas rumah tak sudah-sudah. dengan ragam hero yang bikin (h)angin taufan bertiup kencang, itu semua buat masa berlalu pantas. tanpa sedar cuti sampai penghujungnya.

*sigh*

apalah yang saya kemarukkan sangat mengemas rumah itu ini. sepatutnya cuti panjang ini diguna menikmati masa bersama hero, melihat perkembangan mereka dan mencurah kasih seluruh jiwa.

my mistake.. my mistake..
:||

14 November 2012

tersentak dan tersentap.

saya terdengar abang hero merungut pada ayah. "mak ni asyik marah im je," protesnya pelat-pelat fasih. terhenti nafas saya. lebih-lebih lagi kanda bilang itu bukan kali pertama abang hero merungut begitu. saya memang tidak sedar, tetapi saya tahu suara saya asyik naik dan jiwa asyik tidak tenteram akhir-akhir ini. 

saya mesti lebih belajar mengawal perasaan, lebih-lebih lagi pada cinta hati dan jiwa saya. harta dunia saya.

12 November 2012

nasi ayam ulang tahun.

uwo dan atok hero masakkan kami semua nasi ayam hainan. sangatlah rindu! alang-alang, sekalikan saja dengan sambutan ulang tahun ayah hero.

selamat bertambah umur, kanda. didoakan kanda sentiasa bahagia menjadi suami saya, menjadi ayah yang sempurna buat hero dan sentiasa sabar tahap tinggi dengan karenah kami.

hik hik. :L

09 November 2012

kelebihan.

mempunyai dua orang anak yang sama jantina membuatkan emaknya ini tidak perlu pening-pening mencari baju. cari saja yang berkenan kemudian beli dua saiz yang berbeza.

senang cerita :)

02 November 2012

naik pangkat.

anakanda sasya sudah jadi kakak.
selamat datang anakanda rayyan. selamat datang ke dunia kami.

21 Oktober 2012

tidak minat atau amanah, fikirkanlah.

kalau diikutkan tidak minat, saya boleh saja tinggal dan abaikan saja tanggungjawab saya. boleh saja saya bongkak memberitahu ini bukan minat saya. i'm not good for this - in fact i'm just too good konon-konon. atau bising-bising umum satu dunia ini bukan senarai tugas saya. bukan seperti jawatan yang saya pohon. bukan ini, bukan itu. 

tugas ialah tanggungjawab dan amanah. amanah adalah sesuatu yang berat bukan sekadar minat tak minat.

18 Oktober 2012

jiwa liar perlu dijinakkan.

saya rasa susah sangat mahu mendidik jiwa supaya kembali bersederhana dalam banyak perkara. susah sangat.. agaknya menjinakkan kuda liar tidak susah sebegini. ada tas tangan, dompet dan kasut berjenama (konon) bukan jaminan hati akan puas. memakai pakaian yang cantik tidak semestinya buat wajah lebih berseri. bukan, bukan.

janganlah hati saya menjadi kosong dan tumpul dek kecintaan dunia saya.. janganlah.. :f

09 Oktober 2012

bahagia mesti datang dari hati. bukan dari harta benda, pangkat dan kedudukan.

ketika saya di klinik tempoh hari, saya terdengar perbualan sepasang suami isteri. saya teka-teka sendiri, isteri baru pertama kali ke situ. anak sulung mereka diam tersimpuh atas kerusi. isteri datang ke suami dan bertanya gaji suami. misi mahu isi buku merah, katanya. dari gaya isteri, dia seorang suri rumah. 

air mata saya bergenang sedikit bila terdengar jumlah gaji bulanan suami. tidak, saya tidak bermaksud mencuri dengar.  jumlah gaji suami sama seperti gaji saya 12 tahun dahulu. 12 tahun.

saat saya sibuk mahu membeli itu ini yang harganya kadang-kadang tidak masuk akal dek mahu memuaskan hati dengan koleksi lengkap stail terkini di almari, ini di belakang saya ada sepasang suami isteri yang hidup seadanya dalam dunia mencabar TETAPI masih nampak tenang dan gembira. buat saya terkenang kembali zaman kecil kami sekeluarga yang sederhana tapi tetap bahagia.

saya terkesan sangat dengan peristiwa hari itu.

06 Oktober 2012

kembar mr. bean

tidak boleh orang lain lebih. tidak boleh. kalau mr. bean, nampak juga kelakarnya. 

ini? tidak sama sekali.

02 Oktober 2012

senjata rahsia.

minggu lepas, adik hero marah bila saya lambat mengambilnya daripada tangan cikgu. hari ini, dia marah kerana saya biarkan pahanya disuntik acik misi. 

adik sudah tahu, marah juga adalah satu senjata untuk menarik perhatian mak.

30 September 2012

masa.

menghormati masa orang lain sama penting seperti menghormati masa sendiri.

24 September 2012

duduk dan berdiri.

dia yang duduk lebih rendah daripada kita sekarang mungkin akan berdiri lebih tinggi satu hari nanti.

23 September 2012

mitos.

saya fikir, opposite attract itu cerita karut semata-mata. 
takut nanti bukan makin chenta. makin perang besar, adalah.

21 September 2012

sesekali elok juga.

keluarga kami tidak biasa menyambut ulang tahun besar-besaran. memadailah sesama sendiri. tetapi apabila abang hero dengan bersungguh-sungguh bercerita perihal meniup lilin dan memotong kek kawan di taska, mungkin sudah tiba masanya untuk dia merasa suasana begitu.
 
kami tempah kek coklat spiderman khas untuk meraikan abang hero. mungkin bihun siam saya terlebih sos ikan dan bebola ayam kecut kerana sudah sejuk. atau jajan untuk setiap anak di taska tidak sempurna mana. yang penting, harapan kami semoga dapat buat abang ceria.
 
semoga anak-anak yang lain di situ ceria sama juga..

11 September 2012

seteguh buluh cina.

pokok buluh cina saya masih teguh hidup walaupun nampak terabai sepanjang ketiadaan saya. hampir mati dek tiada air terlalu lama. saya perlukan pokok ini hidup. sebagai sumber oksigen di bilik, udara akan sentiasa segar dan membantu juga dalam menenangkan diri. juga sebagai tanda supaya semangat jati diri perlu kuat, tak kira apa masalah yang akan dihadapi.

kalaulah ditambah satu pokok orkid rerama yang cantik, bagus juga ya? peneman si buluh cina dan penambah seri bilik saya. kombinasi yang serasi. 

oh. saya perlu jenguk kebun orkid dalam waktu terdekat ini :)

09 September 2012

tiga tahun yang sempurna.

abang hero genap tiga tahun hari ini. siapa sangka sudah tiga tahun? warna yang kamu bawa dalam hidup kami sangat indah. seperti kanvas yang ada pelangi. penuh kasih sayang. penuh riang tawa. ada tensi dan marah-marah juga ;)

selamat ulang tahun ketiga, nak. sayang dan doa kami akan selalu mengiringi langkah kamu ke mana saja kamu pergi.

07 September 2012

mesti menguatkan semangat.

kembali mengadap fail bertimbun depan mata. kembali bergegas-gegas mesyuarat itu ini. kembali menatap semua yang ditinggalkan berhabuk perlu dibersihkan semula.

minggu pertama kembali bekerja sudah berakhir. 

05 September 2012

terkejut, masih.

anak puas bercuti.  ayahnya? ayahnya tidak ada cuti panjang. emaknya saja yang masih tak sedar dari lena cuti yang panjang :(

..lalala kerja, hari-hari kerja. kerjalah kerja..

04 September 2012

sudah lain.

kalau dulu, dia amat liat ke taska. kalau mahu lihat dia ke taska ayah perlu belikan macam-macam. roti. air kotak. vitagen. silap-silap mainan pun harus dibeli. kalau sesekali tidak mengapa. hari-hari? orang kaya pun boleh bankrap, nak.. 

alhamdulillah abang hero bersemangat pergi ke taska kini. cuti empat bulan cukup mengajar abang hero. yang taska itu tidaklah seteruk manapun..

03 September 2012

cepat pulang waktu pejabat sudah habis!

ketika saya ambil adik hero daripada pangkuan cikgu, dia lena tidur dan nampak sangat letih. cikgu bilang adik hero asyik menangis. remuk hati mendengarnya. ketika dia terkejut bangun dalam kereta, dia menangis sayu. pantas saya peluk dia, panggil namanya. terus dia diam dan membuka mata memandang keliling. sekelip mata wajahnya kembali bercahaya gembira. tahu dia bersama orang yang dia sayang. 

buat seketika perasaan saya agak berkecamuk, sedih dan tipu kalau saya kata air mata saya tidak bergenang.

sejarah memang berulang.

kali ini, tidaklah seperti mula-mula menghantar abang hero ke taska tiga tahun dahulu. walaupun tiada drama swasta ketika menghantar hero ke taska, air mata saya sedikit bergenang saat kereta bergerak pergi. memikirkan adik hero ditinggalkan pada orang yang tidak dikenali. memikirkan dia itu hanya minum susu badan dan semoga cikgunya pandai mengendalikan susu yang saya tinggalkan.

sungguh, sama seperti tiga tahun yang lalu, mahu saja saya sarungkan baju kak melah yang ada jantung hati di bajunya berkelip-kelip sambil menyanyi syahdu.

..sukarnya..untukku..berpisah denganmu..kaukunci..cintaku..di dalam hatimu..

26 Ogos 2012

berlebihan.

sama saja asal warna dan bau darah yang ini dengan yang itu. kenapa dilebih-lebihkan sangat yang itu?

25 Ogos 2012

bodoh sombong.

bercakap pada yang ingin mendengar. 
mengajar pada yang sudi belajar.

24 Ogos 2012

orhidoholics.

susah hendak berhenti bila sudah ketagih. ketagih mahu melihat spesis baru yang ada dijual. ketagih mahu mengumpul yang wangi-wangi. ketagih mahu ada yang pelik-pelik dan eksotik konon. ketagih mahu memenuhkan taman mini sejemput depan rumah. 

seolah-olah duit sekepuk setinggi gunung mahu menyambar semuanya.

23 Ogos 2012

hatinya tidak tertahan.

atok dan uwo hero minta hero tinggal saja di kampung. kalaulah semudah itu, ya.. 

tapi hero berdua tetap pulang bersama mak dan ayah. atok hero tidak turut serta melambai kepulangan kami. tidak sanggup melihat adik hero yang tembam akan berjauhan kembali atau memikirkan harinya selepas itu sudah tiada usik-mengusik dengan abang hero. 

adik, lihatlah. kamu manja sangat dengan atok. abang, rajuk kamu itu melekat sangat di hati atok. sudahnya atok tak sanggup melihat kalian pergi.

saya sudah mula mengira, bila cuti panjang akan datang lagi. harus pulang lebih kerap selepas ini.

19 Ogos 2012

hari kembali ke fitrah.

selamat hari raya adilfitri. seronok dan manisnya dapat beraya di kampung halaman. ditambah pula dengan kehadiran ahli keluarga baru. alangkah indahnya jika saban tahun beraidilfitri begini..

err.. maksud saya, saban tahun beraya di kampung. bukan saban tahun beraya dengan ahli keluarga baru :-p

16 Ogos 2012

ayuh berdiri kembali!

ada masa kita tidak dapat apa yang kita mahukan sangat. kita rasa sedih, kecewa dan tertanya-tanya di manakah kekurangan kita? sebenarnya, ia lebih kepada mengajar kita supaya bangkit lebih kuat, bikin semangat lebih kental, buat hati jadi lebih mendalami dan mengingatkan diri supaya lebih memperincikan perancangan serta pemikiran. 

begitulah yang sepatutnya.

14 Ogos 2012

tiada kena-mengena.

ada masanya (selalunya) marah saya sangat terbawa-bawa dek perkara lain yang langsung tiada kaitan..akibatnya, saya banyak melukakan hati orang tersayang.

malang sekali..

13 Ogos 2012

pathetic.

saya tidak mampu menahan atau mengelak daripada kamu sakiti. kamu boleh saja serang saya dari segenap ceruk yang kamu mahu. saya tahu kamu seronok begitu. 

maka, saya (rasa) sangat berhak untuk mempertahankan diri dengan apa jua cara supaya kamu boleh sedar apa salah kamu.

i don't despise you. i PITY you.

10 Ogos 2012

habis hari.

mengemas salah. tak mengemas salah. asyik sahajalah itu yang dibuat.  

abang hero, mak juga mahu buat kerja yang lain, nak!

09 Ogos 2012

sudah dua minggu.

abang hero: mak, pampes laaaa..
mak hero: ala abang. tak payahlah pampers. abang kan dah besar.
abang hero: alaaa.. pampes laaa..

potty training pun boleh menjadi sesi berunding dan tawar-menawar.

08 Ogos 2012

28 cupak beras.

beratnya bila kedua-dua hero duduk di riba. sepertinya dua guni beras dihempuk ke badan.

03 Ogos 2012

sesekali saya mahu juga begini.

kalau malas sudah datang bertandang, kerja menimbun di depan mata pun tidak mahu dipandang.

02 Ogos 2012

sabar ya nak.

abang hero mahu berlasak dan bermain dengan adik hero seperti adiknya itu sudah satu tahun. 

lama sangat agaknya dia menunggu ada adik sendiri..

30 Julai 2012

aduh!

memanglah hero berdua anak ayahnya. habis anak siapa lagi?

8|

29 Julai 2012

serba-serbi salah.

kalau diambil, dikatanya tidak pedulikan perasaan orang. tamak mahukan semuanya seorang diri saja. bila tak diambil, dianggapnya mahu lepas tangan. dijeling-jelingnya kita. seolahnya kita tiada mata tak melihat riak wajah masing-masing.
 

susah betullah!

27 Julai 2012

pesan untuk anakanda.

sayang mak, nak, sanggup berbuat apa saja hingga letih terabai diri. walaupun orang pandang enteng. biarlah, biar. yang utama, sayang mak pada kalian memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

walaupun mak memang garang dan tegas, selalunya.

26 Julai 2012

tak tahu.

adakah kasih-sayang untuk anak kecil itu satu drama atau pertandingan? i thought it should be pure and honest.

bukan pilih bulu, pastinya.

23 Julai 2012

satu orang.

bila kita rasa kita sangat keseorangan dalam sesuatu perkara, kita akan berubah jadi tidak mahu peduli lagi. kita rasa mahu abaikan sahaja semuanya. biar tunggang-langgang, jadinya.

don't take things for granted, please.

20 Julai 2012

kalau macam ini, letihlah..

kenapa bila suara sudah naik dan (h)angin sudah datang baru boleh dapat perhatian dan tindakan? selalu saja begitu.

17 Julai 2012

maafkanlah saya.

amat penting untuk saya bertindak mengelak mana-mana perkara atau keadaan yang boleh menyakitkan telinga atau menghiris perasaan. saya ini kalau tersinggung sangat, boleh jadi menyimpan dendam amarah seterusnya menyebabkan gangguan emosi yang berlarutan. tidak elok bukan? takut kalau melarat pula kepada adik hero. maklumlah, anak dan mak berkongsi hormon..

maka saya pilih untuk mengelak. walaupun tindakan itu (amat) melukakan hati orang yang paling saya sayang.

12 Julai 2012

berjaya!

gigih sungguh saya berusaha menyusun kembali dan menyisih semua pakaian. sudahnya berjaya mengurangkan satu almari. SATU ALMARI! i kept asking myself, why on earth did i shop so many clothes? what was i thinking while buying this and that? 

tidaklah saya mahu bergaya seperti budak remaja sedangkan anak sudah dua. saya perlu ada strategi yang bagus untuk pastikan koleksi pakaian saya timeless (konon) dan wajib menguatkan semangat menahan godaan yang mendatang.

saya harap ayat saya ini mampu membeli jiwa kanda :r

10 Julai 2012

usaha sudah, tawakkal kini.

saya berdoa permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran akan termakbul. semoga hati panel temuduga terbuka dengan jawapan lurus bendul saya. saya tertanya-tanya juga, kenapalah jawab lurus bendul benar. bukankah saya patut berpolitik sedikit? adakah jawapan selamat akan memberi peluang yang lebih cerah? entahlah.. :et

saya mahu menyambung pelajaran kerana saya sangat rindukan suasana penuh ilmu. serik lama sudah hilang, rindu pula yang bertandang. saya perlu atasi limitasi saya dengan mencabar diri. i should not be in my comfort zone. supaya saya rasa 'bernafas' dalam memastikan perjalanan karier yang masih panjang ini penuh dengan ilmu bermanfaat dan asam garam yang sepatutnya.

juga sebagai contoh yang terbaik untuk anak-anak. 

06 Julai 2012

mula sekali lagi.

aktiviti mengepam akan dimulakan sekali lagi. doa saya, dapat dicukupkan dua tahun sepertimana dengan abang hero dahulu. semoga usaha ini diberkatiNya dan mendapat sokongan padu daripada sekeliling. yang penting, semangat saya perlu lebih kental dan kuat kali ini.

paling utama, saya WAJIB jaga emosi sehabis-habis boleh :robot

04 Julai 2012

orientasi.

saya kira, semua ibu bapa perlu menjalani tempoh orientasi setiap kali bilangan keluarga bertambah. lagipun, setiap yang baru perlukan tempoh penyesuaian. dari sudut masa, fokus, perbelanjaan, penyusunan jadual hidup.. pendek kata, semua perkaralah.  bezanya, orientasi ibu bapa ini bukan habis setakat seminggu dua. ia sepanjang masa dan berulang-ulang.

proses keibubapaan itu satu pengembaraan hidup yang takkan berkesudahan.

03 Julai 2012

kelu.

"mak akan. man uai adik," kata abang hero, masih pelat. mengarah saya makan dahulu dan sementara itu, dia akan menjaga adik di dalam buaian. saya terdiam, air mata sedikit bergenang dan rasa sangat terharu.. :star

siapa kata anak kecil tidak tahu apa-apa?

30 Jun 2012

sehebat span.

anak kecil sungguh hebat dan kreatif. minda mereka sangat aktif dan terbuka. daya serapan ilmu tidak pernah ada batas dan jemu. gembira tertawa akan perkara yang naif dan bersyukur terhadap sekecil-kecil anugerah. kasih-sayang mereka tiada noda mahupun syak wasangka. benar, anak kecil umpama span yang mampu menyerap apa saja.. :tup

tersangatlah berlawanan dengan orang dewasa yang suka benar menetap batas itu ini.

28 Jun 2012

mahu jadi octopus

alangkah susahnya menjaga dua anak yang masih kecil di samping perlu membuat tugas yang lain. tangan kanan memangku adik, yang kiri melayan keletah abang. kepala sibuk memikirkan kerja rumah yang masih belum sudah-sudah.

adakah saya memerlukan lapan tangan supaya semua perkara dapat dibuat segera?

24 Jun 2012

tiba masa berdikari.

sudah tiba masa untuk pulang semula ke rumah. percutian di kampung sudah tamat.

kepala saya ligat berfikir bagaimana untuk menghadapi semuanya tanpa bantuan.. :f

13 Jun 2012

jauh di mata selalu dekat di hati.

selamat ulang tahun keempat perkahwinan kita, kanda. kita sambut dalam keadaan berpantang pula kali ini ya..

<3 selalu..

11 Jun 2012

minuman berkhasiat.

timbangan berat adik hero cukup sebulan ialah 4 kilo. nampaknya adik mengejar habis rakannya yang lain kerana lahirnya dulu dia kecil saja. ala-ala kecil cili padi, begitu.

sungguh adik dapat susu tinggi khasiat daripada mak ya? Alhamdulillah.

17 Mei 2012

satu minggu.

hari ini adik hero cukup seminggu. esok kami akan pulang menikmati cuti di kampung pula.

alangkah indahnya hidup :rainbow

16 Mei 2012

berbeza.

betullah anak yang lahir daripada rahim yang sama tidak akan serupa. adik hero sangat tenang. hanya menangis ketika lapar, lampinnya berisi ataupun mahu tidur. kalau tiba masa menyusu, puas saya mengejutkannya tetapi dia merungut comel terus menyambung tidur yang lena.

sehinggakan saya tertanya-tanya..apakah saya sedang ada anak kecil?

14 Mei 2012

masih di awang-awangan.

saya sebenarnya masih antara percaya tidak saya sudah anak dua. lebih-lebih lagi dengan macam-macam perkara yang berlaku. tetapi selepas diinduce, proses kelahiran adik hero sangat lancar dan pantas.  adik hero tidak disambut doktor, hanya sekumpulan jururawat sahaja. persiapan kelahiran juga setakat yang ada kerana sebaik saya sampai di dewan bersalin, adik sudah sedia untuk keluar.  

amboi adik, tak sabar-sabar ya.. kamu sudah buat sekumpulan pengamal perubatan itu terkocoh-kocoh tahu?

benar janjiNya setiap kesusahan itu ada kemudahan. alhamdulillah. dan terima kasih kanda kerana sentiasa berada di sisi saya.

12 Mei 2012

pulang, marilah pulang bersama-sama.

kami pulang ke rumah dengan hati berbunga-bunga, sama seperti ketika membawa pulang abang hero tiga tahun dahulu.

lihat adik, ramai sungguh orang yang menanti kehadiran kamu :-)

11 Mei 2012

tidak lagi.

mulai hari ini, si hero bukanlah si hero lagi. si hero kini ialah abang hero. 

selamat datang, adik hero. bertambahlah meriah hidup ayah, abang dan mak dengan adanya kamu.

10 Mei 2012

sudah dekat.

doktor pakar o&g itu kata saya perlu masuk wad hari ini juga. esok saya akan diinduce. katanya, air ketuban sudah sedikit dan bayi saiz kecil kurang 3 kilo.

saya pulang ke rumah mengemas barang menunggu panggilan ke wad, dengan doa dan penuh percaya. bahawa jangkaan dan telahan manusia tidak akan dapat mengatasi ketentuanNya.

29 April 2012

bawalah hati kami bersama.

kanda 'terbang' ke vietnam. company trip. alahai, si hero dan saya mahu ikut juga..yang mampu kanda bawa ialah pesanan kami sahaja. kami tetap tertinggal di malaysia.. 

saya mahu hadiah dan cendera hati yang banyak daripada kanda!

24 April 2012

faktor usia.


pagi ini, saya ke klinik untuk pemeriksaan antenatal. berita tak baiknya, saya disah ada gestational diabetes hasil ujian gula jumaat tempoh hari. agak tertekan juga saya, walaupun si kecik-yang-di-dalam sudah 36 minggu. antara punca saya boleh mendapat kencing manis jenis ini ialah keinginan mahukan minuman manis sangatlah tinggi (again, i have nobody else to blame but myself) dan ya, faktor usia juga.

patutlah akhir-akhir ini, lagu fauziah latif 'tua mengejar kita' asyiklah terngiang-ngiang di telinga.

:|

23 April 2012

disiplin.

kalau hidup tidak berdisiplin, bagaimana pula hendak berjaya? kalau tidak berjaya, jangan pula menyalahkan orang lain.

entahlah!

20 April 2012

cukuplah.

saya harap selepas ini, berat badan saya terkawal. tidaklah perlu buat ujian air gula lagi. seksa sungguh mahu habiskan segelas air penuh gula itu. pitam, mahu muntah dan rasa marah pun ada. selera makan keterlaluan sangat akhir-akhir ini. dan saya bukankah orang yang suka menahan selera..

i have nobody else to blame but myself
.

19 April 2012

apa yang paling manis di dunia?

air gula yang saya perlu ambil untuk ujian diabetes di klinik pun tidak boleh menandingi kemanisan yang satu ini. manis nian, sehingga mampu menghilangkan semua kegusaran hati dan buat hati berbunga riang selalu.

yang paling manis di dunia ini dari kaca mata seorang mak ialah senyuman anaknya. sungguh ikhlas, sungguh murni. tiada kepura-puraan. telus tembus ke hati.

mak sayang kamu, nak. sayang sangat.

18 April 2012

sangatlah kebuntuan.

bilik pejabat saya sangatlah bersepah tetapi saya sangatlah malas untuk mengemas. kerja saya sangatlah banyak tetapi saya sangatlah tak tahu hendak mula dari mana. masa saya sangatlah terhad tetapi saya sangatlah mahu duduk-duduk saja.

apakah yang sedang terjadi?

12 April 2012

ada saja yang tak kena..

mulut manusia sangat susah untuk ditapis, cara masing-masing 'kan tidak sama. begini salah, begitu juga salah.

sama sepertinya kes ke mana sahaja diteman suami salah - tidak berdikari konon, tetapi jika tak ditemani salah pula - suami tak sayang agaknya.

susah jika hidup terlalu mahu mendengar cakap-cakap orang.

08 April 2012

ada bau baru di sini!

oleh kerana telefon cantik-versi-james-bond sudah rosak dek penangan si hero, saya terpaksalah beli yang baru. seksa benar rasanya memakai telefon lampu suluh sementara mendapat idea mahu beli yang mana satu.

saya beli jenama yang sama juga dengan yang lama. saya sukakan kameranya. dan namanya yang ala-ala misteri begitu. dan saya masih terkapai-kapai meneliti itu ini cara menggunakannya. dalam hati asyik terfikir, alangkah bagusnya kalau telefon lama masih elok lagi!

canggih sangat telefon zaman kini. sampaikan nak jawab telefon pun saya tidak tahu.. :f

04 April 2012

bersaing tak kena tempat...

saya fikir dalam hal kebendaan dan penampilan, tidak perlulah bersaing. ini sampai menjeling memerhati atas bawah atas bawah, alahai.. sungguhlah tidak matang penuh kebudak-budakan.

sebetulnya jika mahukan sesuatu, pastikan kerana kita benar-benar suka. dan perlu. bukan untuk dilihat lebih daripada orang lain - hanya menyusahkan badan sahaja. diri sendiri (dan poket) juga yang 'sakit'. lebih-lebih lagi kelakuan sebegitu turut memberi beban kepada poket dan fikiran orang tersayang..

hidup bukannya perlawanan kalah menang.

02 April 2012

lebih berhati-hati.

saya sebenarnya tergelincir dek leka terlalu asyik di kebun orkid tempoh hari. hari ini, sakit belakang semakin terasa. alhamdulillah, si kecil yang-di-dalam tiada apa-apa. masih aktif bergerak. kalau si kecil tidur agak lama, saya akan kejutkannya. walaupun selepas itu si kecil menolak-nolak keras - marah barang kali kerana lenanya diganggu, biarlah asalkan saya tidak risau sangat.. salah saya juga tidak berhati-hati. what a lousy mother! >.<

perlu lebih, lebih berwaspada selepas ini. tiada lagi lawatan ke kebun orkid. itu sudah pasti.

oh, tinggal sebulan setengah sahaja lagi sebelum dapat menatap wajah kamu, nak. semoga kamu sihat sempurna dan dapat menatap wajah kami yang menanti kamu penuh sabar ini.

31 Mac 2012

sukalah sangat.

sepertinya treasure hunt mencari kebun orkid satu ini yang menjadi sebutan ramai. bila ketemu, oh alangkah indahnya dunia. saya sambar lagi empat pokok. duit yang untuk pembelian kali ini nampaknya duit terselit yang sepatutnya untuk kes kecemasan sahaja. atau mungkinkah kegilaan orkid juga boleh jadi satu kes kecemasan? :mj

betullah tak kenal maka tak akan cinta. tetapi cinta ini perlu dihentikan buat sementara. ada cinta baru yang akan hadir dalam hidup kami dan ia jauh lebih bererti dan cantik sekali.

wahai orkid yang dijadikanNya sebegitu indah dan pemunya kebun-kebun orkid yang baik hati, tunggu hibernasi saya berakhir ya!

25 Mac 2012

tak banyak..

janji asal saya kepada kanda, hanya mahu menyambar dua pokok orkid. dua sahaja. akan tetapi sila beritahu saya, bagaimana hendak menahan diri jika dikelilingi kejadianNya nan indah sambil diiringi pekerja kebun yang pemurah memberitahu tips itu ini? saya sambar lima pokok.

lima sahaja.

20 Mac 2012

aktiviti bukan hujung minggu.

saya masih bercuti tetapi kesihatan semakin baik. si hero ada temu janji klinik. sebagai menebus rasa bersalah menghantarnya ke taska semalam, saya rancang mahu bawa dia berjalan-jalan ke MV seusai urusan klinik.

bukan berdua, tetapi bertiga terjejak kaki di MV. ada pelakon tambahan pula pada saat-saat akhir. bukan lagi mother-and-son bonding moment tetapi family enrichment moment jadinya.

saya syak kanda tidak tahan ditinggal sendirian memikirkan anak isterinya bersuka ria tanpa dia di sisi.. <3

19 Mac 2012

in a blink of an eye..

saya bercuti tetapi si hero tetap ke taska. berat hati saya tetapi hendak menjaga diapun tidak dapat kerana kesihatan diri tidak mengizinkan. petangnya, dia pulang dengan wajah yang monyok kesedihan. kasihan si hero. sudahlah lambat diambil ayah, badan tidak sihat pula.. timbul rasa bersalah dalam diri :(

sambil si hero berbaring di atas riba saya selepas makan ubat dan matanya tekun tertancap pada kaca tv, barulah saya tersedar betapa pantasnya masa telah berlalu. melihat si hero yang semakin membesar dan bakal jadi abang pula. air mata saya bergenang dek rasa syahdu. anak-anak, mereka akan membesar terlalu cepat tanpa sedar.

saya tidak mahu terlepas satupun saat manis bersama mereka si buah hati kesayangan saya ini..

04 Mac 2012

wajib singgah.

seusai bengkel mahu pulang ke rumah, wajiblah singgah ke nilai garden nursery yang saya nampak ketika datang jumaat lalu. "just want to take a look whether they have orchids or not..or may be grab some nice vases, ya kanda," itulah hasrat awal. kononnyalah.

pasu seramiknya banyak corak yang ringkas dan sesuai jiwa saya. tapi ada pula pembelian tambahan - ros hibrid belang-belang-fuchsia-kuning, bunga raya hibrid fuchsia dan ya - akibat terpengaruh dengan majalah 'Laman', saya juga beli sepokok hijau untuk diletakkan di ruang keluarga tingkat atas.

saya syak dek terlalu risaukan perihal kewangan pejabat buat saya tidak ada masa untuk risaukan kewangan sendiri.. o_O

03 Mac 2012

cinta selalu, hendaknya.

saya tujukan lagu i will always love you untuk kanda, sempena hari kita lafazkan kasih kita tujuh tahun yang lalu. saya harap, kandapun akan selalu berperasaan begitu juga pada saya.

saya doakan telaga kasih sayang kita 'kan sentiasa penuh tidak kontang, tak kira apa jua dugaan yang datang.

02 Mac 2012

ada tanda 'awas!' di sini.

sangat berbahaya bila seorang perempuan itu disuruh menghadiri bengkel memerah otak habis-habisan di satu tempat berdekatan dengan syurga membeli-belah diberi nama 'Nilai 3'.

seolah-olah terlihat saja tanda amaran 'awas!' terpampang di sana-sini..

29 Februari 2012

beban.

masa kecil dahulu, terima anugerah itu ini sangat menggembira dan membanggakan. sudah tua begini, anugerah manusia itu sebenarnya tidak lebih daripada beban - ia amanah yang perlu diberi makna yang sangat mendalam.

lebih-lebih lagi ada yang berani mempersoalkan apa yang kita dapat, seolahnya kita pula yang bersorak-sorak umpama gadis-manis-pom-pom-di-tengah-tengah-padang meminta diberi pujian.

alahai manusia..

26 Februari 2012

beli lagi!

sambar lagi tujuh jenis orkid! dan pulang ke rumah sambil di telinga terdengar-dengar lagu filem 'madu tiga'.

..aih, senangnya dalam hati, kalau beristri dua seperti dunia ana yang punya..

21 Februari 2012

mengutip kembali semangat yang pernah retak.

rezeki itu diberiNya dalam bentuk tidak terduga. mungkin bukan dalam bentuk wang ringgit atau anugerah yang dicipta manusia. sentiasa bersyukur dalam apa jua keadaan - baik ataupun buruk.

semoga Allah melindungi kita daripada keburukan yang ada dan memberi cahaya kebaikan terus ke hati kita.

20 Februari 2012

kebun tak berapa besar di belakang rumah.

laman belakang, cadangnya kami (saya, sebenarnya..) mahu bina taman kecil tempat kami bersenang-senang pada hujung minggu. sambil itu, bolehlah menelek pokok yang ada. impian yang masih belum jadi kenyataan..

bila agaknya ya kanda? <3 <3 <3

19 Februari 2012

orkid oh orkid..

saya semakin gilakan orkid. kalaulah saya mampu dapatkan semuanya, alangkah.. saya mahu tahu semua lokasi nurseri orkid yang berdekatan!

hari ini, impian tercapai. terjejak juga kaki ke kebun orkid yang disebut-sebut dalam forum penggila orkid. saya sambar sepuluh jenis.. kalaulah (KALAU) poket masih tebal hujung-hujung bulan begini, entah-entah penuh kereta dengan orkid. tidak pasti pula yang mana orang yang mana pokok kalau dilihat sekali lalu ^_^

saya perlu bershopping pasu pula selepas ini..

17 Februari 2012

lebih baik.

sejarah kita sepatutnya membuatkan kita menjadi lebih baik.
bukan sebaliknya.

16 Februari 2012

hikmat taichi tidak terbatas.

kerja kamu tahu sangat dilayang-layang pada orang lain. kerja orang lain kalau tersinggah pada kamu, pandai sangat kamu tepis.

kamu tahu atau tidak yang ramai orang sudah bosan dengan kamu?

14 Februari 2012

kasih dan sayang bukan untuk sehari.

kalau tidak, jangan ia dimula atau disemarakkan dari awal. kasih yang terputus di tengah jalan dan sayang yang terhenti di persimpangan sangat melukakan jiwa. kalau yang ada itu masih kurang tidak sempurna sana sini, pasti akan lengkap juga.. seiring dalam masa yang beredar tiada noktah.

ia untuk selama-lamanya. insyaAllah.

07 Februari 2012

rezeki.


saya teringin anak perempuan. barulah lengkap hidup, rasanyalah. tetapi aturanNya itu lebih adil dan mengerti akan hidup hambaNya. rezeki yang diberi, hanya Dia yang Maha Tahu akan apa yang terangkum dalam Luh MahfuzNya.

sesuai sangatlah bilik no. 3 rumah kami catnya biru. katilnya cadar juga biru. almarinya tegap coklat. kanda dan saya juga harus memaskulinkan lagi suasananya. tampak elok untuk anakanda kami bakal berkongsi ruang di situ.

mak, ayah dan abang kamu akan menunggu kehadiran kamu dalam hidup kami, si kecil yang-di-dalam. mungkin sudah takdir, hidup saya akan dikelilingi ramai hero yang menambah lagi variasi warna hidup meniti usia.

31 Januari 2012

acuan.

betullah sebagaimana acuan, begitulah kuihnya.

melihatkan si hero kalau meragam atau mahukan sesuatu atau yang seumpama dengannya, memanglah sama. saya seolah-olah sedang menatap cermin jua layaknya.

oh, untuk anak yang kedua ini sememangnya WAJIB untuk saya menjaga perasaan sepanjang dia di dalam serta selama dia menyusu badan kelak. jika tidak, harus semua hormon, emosi dan pe'el tak sudah saya akan berjangkit pula pada adik si hero.

saya sangat pasti kanda tidak mahu klon saya semakin bertambah di dalam rumah kami :P

25 Januari 2012

survival.

saya tahu dan faham, syarikat bumiputera banyak bergantung kepada kerajaan dalam memastikan kelangsungan survival masing-masing. tetapi, tolonglah jangan memutarbelitkan kenyataan atau menggunakan jalan tidak betul semata-mata mahukan keuntungan.

sangat memualkan.

11 Januari 2012

kongsi.

berita gembira, kalau dikongsi bersama, boleh menambah lagi kemeriahan yang ada.

sayapun mahu berkongsi berita gembira kamu, cik nono. nampaknya lebih kuranglah tempoh kita bercuti panjang nanti ;-)

07 Januari 2012

kebun kecil di sudut luar rumah.

tidak, membeli-belah bukanlah satu-satunya kegemaran saya - berkebun juga. sudah ada 16 jenis orkid, 4 jenis ros, 4 jenis bunga raya dan beberapa spesis pokok yang saya kurang pasti apa namanya. paling penting, hobi ini mampu membantu saya melepas tensi kerja.

oh, kadang-kadang bercakap dengan pokok bunga lebih menenangkan daripada bercakap dengan sekumpulan orang yang menyakitkan perasaan!

02 Januari 2012

baru dan cerah.

walaupun tahun baru bermula agak suram kerana kecewa dengan ulasan penilaian tahunan, alhamdulillah keadaan menjadi semakin baik sekarang. hari-hari selepas itu, pagi terasa sangatlah cerah. udara terasa sangatlah nyaman.

betul kata orang, what goes around comes around. topeng itu akan semakin terbuka lapisannya. tunggu dan lihat sahajalah.

dengan sabar, sudah pasti.