17 Mei 2012

satu minggu.

hari ini adik hero cukup seminggu. esok kami akan pulang menikmati cuti di kampung pula.

alangkah indahnya hidup :rainbow

16 Mei 2012

berbeza.

betullah anak yang lahir daripada rahim yang sama tidak akan serupa. adik hero sangat tenang. hanya menangis ketika lapar, lampinnya berisi ataupun mahu tidur. kalau tiba masa menyusu, puas saya mengejutkannya tetapi dia merungut comel terus menyambung tidur yang lena.

sehinggakan saya tertanya-tanya..apakah saya sedang ada anak kecil?

14 Mei 2012

masih di awang-awangan.

saya sebenarnya masih antara percaya tidak saya sudah anak dua. lebih-lebih lagi dengan macam-macam perkara yang berlaku. tetapi selepas diinduce, proses kelahiran adik hero sangat lancar dan pantas.  adik hero tidak disambut doktor, hanya sekumpulan jururawat sahaja. persiapan kelahiran juga setakat yang ada kerana sebaik saya sampai di dewan bersalin, adik sudah sedia untuk keluar.  

amboi adik, tak sabar-sabar ya.. kamu sudah buat sekumpulan pengamal perubatan itu terkocoh-kocoh tahu?

benar janjiNya setiap kesusahan itu ada kemudahan. alhamdulillah. dan terima kasih kanda kerana sentiasa berada di sisi saya.

12 Mei 2012

pulang, marilah pulang bersama-sama.

kami pulang ke rumah dengan hati berbunga-bunga, sama seperti ketika membawa pulang abang hero tiga tahun dahulu.

lihat adik, ramai sungguh orang yang menanti kehadiran kamu :-)

11 Mei 2012

tidak lagi.

mulai hari ini, si hero bukanlah si hero lagi. si hero kini ialah abang hero. 

selamat datang, adik hero. bertambahlah meriah hidup ayah, abang dan mak dengan adanya kamu.

10 Mei 2012

sudah dekat.

doktor pakar o&g itu kata saya perlu masuk wad hari ini juga. esok saya akan diinduce. katanya, air ketuban sudah sedikit dan bayi saiz kecil kurang 3 kilo.

saya pulang ke rumah mengemas barang menunggu panggilan ke wad, dengan doa dan penuh percaya. bahawa jangkaan dan telahan manusia tidak akan dapat mengatasi ketentuanNya.