28 November 2023

mulalah kembali!

entah kenapa, celik mata sahaja terus saya mahu mulakan kembali rutin pelajar saya. keinginan untuk ke perpustakaan kembali membuak-buak, usai tahajud terus saya kemaskan semua kelengkapan. tiba-tiba begitu.

bergegas sediakan sarapan ringkas anak-anak dan sudah tentulah wajib kopi pagi saya serta bising itu-ini mengejutkan semua kesayangan. maaflah ya, jiran-jiran. pagi-pagi sudah begini. leteran bernada tinggi payah amat untuk dipisahkan daripada mak yang ini. bukan itu saja, anak-anak bulu juga perlukan perhatian. mak umpama sotong kurita bertangan lapan belas, gigih mahu semua siap segera.

pulang daripada perpustakaan dijemput kanda serta siap dibelanja kopi hipstur kegemaran.. ah, indah sungguh hari ini.

marilah bersemangat semula!

22 November 2023

berita gembira.

menyambut ulang tahun perkhidmatan melebihi dua dekad -- menua dalam gomen (haha!); sambil meraikan berita gembira yang datang menjengah setelah sekian lama dinanti-nanti.

nan bawang putih berkeju berserta ayam tandoori dikongsi bersama-sama kanda, sambil ditemani kopi hipstur dilabel kata-kata hikmah "Yesterday you said tomorrow". agak pedih umpama ditampar halus, sungguh teringat-ingat juga betapa lamanya saya bertangguh-tangguh untuk memulakan kembali pembacaan jurnal yang sudah berhabuk tiada perhatian.

apapun, alhamdulillah.
semoga yang baik-baik daripadaNya akan sentiasa mendatangi hidup kita.