27 Februari 2024

panas membahang.

alangkah sedihnya melihat tanaman kami hampir kering, setelah lima hari ditinggalkan sementara kami balik kampung. walaupun telah dipasang dengan alat penyiram self irrigation, tidak cukup sementelahan cuaca yang teramat panas membahang sekarang. dalam remuk hati, saya minta abang hero siram habis, biar basah sepenuhnya semuanya. dengan harapan, esok pagi masih ada yang boleh diselamatkan. banyak juga yang perlu dimula kembali, tidak sangka kesannya sebegitu.

jangan putus asa, ok?

22 Februari 2024

sejemput.

kebun herba kami di belakang rumah, bukanlah sebesar mana. cumanya ada pelbagai jenis sayur dan herba yang dapat ditanam, setakat ini cukup menjadi pelengkap menu utama kami. benih yang belum tersemai juga masih banyak, sakan benar saya membeli di Shopee tempoh hari.

setakat ini, saya berjaya tuai pak choy, kailan manis, salad, lada benggala, serai, daun kunyit, daun bawang, daun kari, daun salam dan daun limau purut beberapa kali. bahagia sungguh cuma perlu ke belakang dan petik setiap kali memasak. tak sabar nak melihat hasil variasi tomato dan cili, on the way kata urang Minang.

macam jamie oliver pulak rasanya.
alhamdulillah.

20 Februari 2024

hangus yang lain.

tempoh hari, bukan setakat kenangan pahit terbakar. kulit muka dan tangan saya pun hangus sama. sudah bertukar warna haha! habis rosak kering semuanya. seiring dengan usia yang tambah menua, kesan kulit terbakar ini semakin mengambil masa untuk dirawat. sudah berhari-hari saya menyapu krim itu-ini melegakan pedih yang masih tersisa. bagi seorang yang kurang rajin, saya agak terbeban jugalah dengan rutin penjagaan sebegini. 

akan tetapi, janganlah dilayan malas kalau mahu kelihatan sedikit muda daripada umur sebenar kan? lagi satu, krim berbotol-botol ini untuk apa? pameran? pakai, jangan membazir.

16 Februari 2024

magik.

hari ini, saya mahu pastikan kebun "sebaris jemput" belakang rumah disusun atur molek, pasu kosong diisi tanah, buluh penyokong siap dipancang, semua benih disemai di ruang kosong dan pokok dibaja secukupnya. perlu bebaskan diri daripada menelaah dan pusing kepala yang tidak kesudahan, sekejap.

fokus sungguh sampai tak sedar sudah tengah hari. kulit sudah pedih menahan perit dek terik matahari tegak atas kepala, tapi masih tak terasa mahu berhenti. tenggelam dalam asyik, sambil kepala masih (degil) belum berhenti tetap memikir itu-ini.

entah kenapa, tiba-tiba terimbas beberapa kenangan pahit buruk yang membelenggu selama ini, payah benar nak hilangkan. entah kenapa pula, tiba-tiba semuanya bertukar menjadi helaian kertas yang mengering lantas terus terbakar. satu demi satu hangus menjadi debu berterbangan, hilang dibawa angin.

ajaib betul.
nampaknya, kenalah lebih rajin berkebun selepas ini.

to a better me ahead!