beban masa silam itu, sebenarnya berat. mahu melepaskan diri daripada lelahnya menanggung, lagilah menyesakkan kepala. seolah-olah lekat terbelenggu pada rantai dan terus-menerus lemas dalam lautan fikiran tiada ketepian.
mahu mengeluarkan diri daripada selirat kekusutan, sangat memakan tenaga. kadang terasa sudah dapat diatasi, kadang terasa eh, terperosok semula dalam jurang -- langsung terduduk tak mampu bangun sendiri. gelap tiada cahaya. banyak masa terbazir begitu sahaja. belum dikira kesannya terpalit pada kesayangan, sama.
buntu.
tak tahu bagaimana, tercari-cari punca.
mungkin kerana susah sungguh untuk menerima hakikat kelemahan diri. menyoal kenapa itu kenapa ini. mengapa boleh berjumpa orang sebegitu sebegini. selama ini kuat menahan, umpama pokok ru yang akarnya kukuh mencengkam tanah. tiba-tiba sekali itu, lemah tak tertahan sedikit ribut dalam kehidupan. atau belum pernah melalui perkara sebegitu, terus hilang idea bagaimana mahu atasi.
walhal, itu cara Dia mahu mengajar supaya jadi lebih baik daripada kita yang dulu.
itulah pentingnya untuk belajar menerima batasan diri, bukan semua perkara di dalam kawalan kita. wajib untuk pulangkan segalanya kepada Dia, berdoa semoga dilindungiNya setiap saat sementara dalam dunia fana ini.
acknowledge your feelings.
embrace your past.
self-acceptance is the key.
tenang-tenang sahaja, ok?
mari kita gerak terus.