29 Januari 2024

entah apa-apa.

kita yang duduk di atas-atas, tak usahlah sewenang-wenangnya melabel pegawai bawahan itu-ini, semata-mata mahu memuaskan prasangka emosi masing-masing. mentang-mentanglah hidup (mungkin) kurang masalah, janganlah disamakan tahap kerunsingan orang, semua dipukul rata. mentang-mentanglah hidup sudah stabil dan kurang ragam anak-anak sudah membesar. kita kata anak buah, entah-entah kita ini lebih teruk lagi. tambahan lagi kalau kita tidaklah sehandal anak-anak buah dalam bekerja. kita sesedap mulut men'downgrade' anak buah -- demi menutup kelemahan diri, melabel mereka tidak perform yadayada. kita sudah hebat sangatkah? walhal hidup dalam insecurities yang menjengkelkan. buanglah habis perangai narsistik yang mencomotkan peribadi, janganlah menekan mereka yang bukan-bukan. apa kamu ingat kuasa itu kekal sampai mati? kita pencen nanti tidak ada yang sudi memandang, tahu?

kita yang duduk di bawah-bawah, tak usahlah sewenang-wenangnya mengutuk bos-bos kita begitu begini pula. mencaci gaji bos pun ada. eh, jangan ditunjuk berlangaunya hati kita. entah-entah ada bos yang tidak tidur malam memikir jalan penyelesaian, berkorban masa dan raga sampai terabai kesayangan. kita 1/2 jam sebelum sudah siap menunggu mahu tekan cap jari, padahal sudah rehat hampir dua jam SETIAP tengah hari. belum dikira masa bersarapan lenggang-lenggang kangkung bagai itik pulang petang. bila tiba bab bayar yuran kelab pejabat, sedap menenyeh bos dengan yuran mahal tidak munasabah. padahal yang banyak dapat faedah, kita. ingat perut sendiri cuma. buat kerja rasa terlebih saja, sudah mula membanding-banding kadar tenaga dengan bos. asal terasa bijak sedikit, dilekehkannya bos. aduh, miskin jiwa betul. entitled sungguh!

loya sangatlah dengan manusia sebegini.
kamu tahu atau tidak,
orang yang gembira tidak huduh kelakunya sebegitu?

dah.
pergi bawa mulut dan hati jahat kamu jauh-jauh.
meluat aku.

24 Januari 2024

mudahnya bercakap.

kalaulah menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi semudah melaksanakan tugas (yang rumit) di pejabat, sudah tentu berderet-deret ramainya boleh bergelar 'Dr.'. perlu faham, di pejabat bersifat 'problem solver' manakala dunia akademik pula, cara berfikir wajib berbeza dalam mencari titik pertemuan penyelesaian masalah realiti dengan teori penyelidikan. itulah belenggu saya selama ini.

kalaulah menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi dilihat terlalu banyak masa dan seronoknya bercuti-cutian, sudah tentulah ramai yang berjaya menghabiskan penyelidikan umpama memetik jari. tidak perlu menunggu bertahun-tahun. maklumlah, penuh berkelapangan kerana semua nampak mudah. walhal, terperangkap dan terduduk di sudut gelap memerhati setompok cahaya depan mata ada kalanya adalah perkara terkuat yang kita mampu dalam menghadap kabur kelabunya masa depan.

payah juga dengan orang yang mudah-mudah anggapannya ini.

22 Januari 2024

sudah-sudahlah.

kalau terlalu bersusah-payah begini, walaupun tujuan asalnya untuk kebaikan masa depan mahu menyumbang tenaga dan berbakti sepenuh jiwa, sekarang nampaknya tak perlulah nak pening-pening sangat memikirkan ketidaktentuan nasib yang ada. hidup perlu terus juga, pengajian ini wajib dihabiskan mengikut tempoh masa.

berundur sekejap cara berjuang, wajib ada strategi lain.
berbeza dan dapat dibuat dengan segera dan sebaik-baiknya.

12 Januari 2024

bangkit.

wahai diri.
maafkan sajalah mereka semua. mereka itu kisah silam, tak penting untuk masa depan. buat pengalaman dan pengajaran, sebagai sempadan agar tidak berulang lagi.

ini yang paling utama,
maafkanlah diri sendiri dulu.

maafkan diri kamu, kerana telah melalui perkara yang pahit-pahit dalam hidup kamu. maafkan diri kamu, kerana ketika itu kamu lemah dan tidak berupaya menangkis khabar tak enak tentang kamu. maafkan diri kamu, kerana ragu-ragu untuk menguatkan diri. maafkan diri kamu, kerana tidak dapat melepaskan genggaman jahat orang-orang yang ada kuasa itu semua. maafkan diri kamu, kerana mereka mudah-mudah saja menyebar cerita beracun tentang kamu. maafkan diri kamu, kerana terikut menjadi people pleaser atas nama semangat berpasukan konon. maafkan diri kamu, kerana bertegas mengehadkan lingkungan kamu dan tidak mahu terangkum dalam keramaian yang melemaskan jiwa.

maafkanlah diri kamu, yang terduduk kerana dihimpit dek ketidakupayaan dalam keterpaksaan. maafkan diri kamu, kerana 'hilang' diri sekejap tanpa sedar.  selama ini kamu kuat, tetapi kamu manusia. memang ada carik sana-sini dalam kanvas kehidupan. itu lumrah.

sudah.
maafkan saja.
kegembiraan diri, juga sama penting.

sekarang masa untuk bangkit dan terus berlari.