21 Mac 2024

kuatkan semangat.

mencabar benar berpuasa dalam keadaan panas terik. kasihan sungguh memikirkan anak-anak berpuasa di sekolah dalam cuaca sebegini. yang dewasa pun tak tahan, apatah lagi anak kecil. sekurang-kurangnya abang hero dan abangah hero bersekolah pagi dan ada basikal. adik hero masih boleh bertahan. kalau pwincess hero pulang mengadu sudah berbuka, saya ambil langkah tidak bertegas sangat. asalkan berusaha sedapatnya, bolehlah..

antara cabaran saya ialah ketika memasak lauk berbuka. walaupun dapur tidak terkena matahari petang, tetapi bahang luar dan panas dapur memang banyak melelahkan badan. masak kena masak juga, selera sedikit tertutup dengan pilihan juadah bazaar ramadan yang agak terhad dan harga yang melambung kali ini.

apapun, semoga semua dapat meneruskan ibadah dalam bulan mulia ini dengan penuh keikhlasan dan kekuatan jiwa.

insyaAllah.

19 Mac 2024

penerimaan itu penting.

mengakui dan menerima hakikat pada masa lampau sememangnya sangat-sangat membantu untuk berdamai dengan takdir. masing-masing ada cerita sendiri, jangan benarkan sesiapa pun menyangkal kewujudan perasaan orang lain.

"own your past, own your mistakes," kata urang Minang.

yang utama, usaha untuk memperbaiki diri demi masa depan yang lebih baik dan bersedia dengan apa saja yang datang bersama-sama impian. yang datang itu mungkin cabaran, mungkin ketidakselesaan atau mungkin juga rezeki yang melimpah-ruah.

12 Mac 2024

pertama kali.

pertama kali kami bersahur dan berpuasa berenam.

semoga amal ibadat kami diterima tanpa hisab, sungguh kami berharap supaya menjadi hambaNya yang lebih baik berbanding dahulu.

amin.

11 Mac 2024

masa untuk diri.

selesai semuanya ke sekolah dan kanda ke pejabat, laju saya ke belakang rumah, cadangnya mahu siapkan susunan akhir kebun "sebaris jemput" herba kami. susun semua pancang yang baru dibeli, manalah tahu benih tomato berwarna-warni boleh tumbuh molek kelak. semua tong cat kosong yang dibeli penuh terisi tanah, sabut dan arang. dalam hati berkira-kira, supaya dapat saya tanam herba dan sayur kegemaran semua kesayangan di rumah ini.

laju-laju saya siapkan semua, biar apa saja yang dirancang dalam kepala selesai pagi ini juga. mudah untuk saya tabur saja benih tanaman yang perlu, selepas ini tanpa perlu risau cukupkah tanahnya atau cukupkah tong yang sesuai.

inilah me time saya ;)

kan mak dah kata?

hari pertama persekolahan setelah sekian lamanya bercuti, tetaplah hiruk-pikuk dengan gegak-gempita jeritan mak awal-awal hari. walhal, sudah berbuih-buih mulut mak ayah berpesan itu-ini sedari seminggu dua yang sudah lagi. stokin tak sama saiz, beg tersilap, baju salah padanan. tudung mana tudung?

cliché, cliché.

boleh tak kalau mak nak aman-damai sahaja pada hari-hari yang penting sebegini? mak memeluk tubuh -- gigih berusaha menahan sabar sambil mengetap gigi, hanya mampu menggelengkan kepala tiap kali diaju soalan yang sudah dijangka sama saja macam dahulu. muka mak seolah-olah boleh dibaca, "kan mak dah pesan semalam??"

dalam huru-hara pagi, perlahan-lahan semuanya beransur ke sekolah dan akhirnya tinggal mak seorang diri menikmati tenangnya hari ditemani kopi hangat di sisi.

i need my me time.