15 Mei 2024

damage control.

buang rasa ragu, padam semua jejak yang ada.
teruskan melangkah, jangan berpaling lagi.
cukup-cukuplah memalukan diri sendiri.

pinggan tak retak, nasi tak dingin.
orang tak hendak, kita usah teringin.

09 Mei 2024

istimewa.

bulan Mei ini, hari lahir ramai kesayangan saya. selain anak dan anak saudara, bos saya ulang tahun kelahirannya ialah hari ini. bos inilah yang saya tulis tentangnya dulu.

doa saya yang teristimewa buat dia,
semoga dalam lindungan dan keberkatan Tuhan setiap masa.

dia bilang terima kasih atas ingatan, diselitkan doa dan kata-kata semangat semoga gigih dan cekal dalam melayari pengajian serta harapan urusan saya dipermudahkanNya jua. bilangnya lagi, doa dia akan selalu mengiringi setiap langkah saya.

haih, bos ni..
pagi-pagi dah buat air mata saya bergenang.

selamat ulang tahun kelahiran, bos!

08 Mei 2024

hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

diberi petanda sekali pun sudah cukup -- wajib cepat-cepat sedar. dua kali maknanya kamu ignorant, kata urang minang. tapi kalau dah banyak kali pun masih tidak dapat menangkap, haaaa itu maknanya kamu tak faham-faham bahasa.

tak pasal-pasal orang naik (h)angin pada kamu.
kan dah malu sendiri? cepat-cepatlah bawa bertaubat.
jika orang tak sudi, janganlah kita menunggu-nunggu lagi.

move on, lekaih!

06 Mei 2024

tak nampak.

syukurlah komputer riba saya siap dibaiki. tidaklah bengkang-bengkok lagi dasarnya, diganti dengan cover baru. melayang sikitlah duit, tetapi masih sangat jimat sekiranya dihantar ke pusat servis di KL sana. adik juruteknik kedai pun sangat cermat dan baik orangnya.

geram, bukan calang-calang harga yang dibeli tetapi material badan komputer riba ini memang kurang tahan dengan haba -- isu utama jenama ini. tapi dek jatuh cinta dengan spesifikasinya yang amat bagus ditambah ringan yakmat, pejamkan mata buat-buat tak tahu.

begitulah juga dengan kehidupan.
hati sudah penuh dengan limpahan kasih, kamu tutup mata saja dengan kekurangan kesayangan. nampak yang indah-indah belaka.

benar cinta itu buta.

tersilap.

entah apalah silapnya, sebahagian ranting dan dedaun tomato baka unik saya yang sedang berbuah, hampir layu. mungkinkah saya tersilap cucuk pancang pada akar utama? mungkin bajanya terlalu kuat? terlebih airkah? racun siput terkurangkah?

aduh.
murung sekejap. 

02 Mei 2024

kuman seberang laut.

salah kita, dia nampak ketara sangat.
cuba salah dia.

besar gajah, tahu tak?