29 Disember 2016

datangnya membawa seribu cinta yang berbeza.

keluarga kami menerima kehadiran orang baharu.
kini, mak saya uwonya para hero sudah ada empat cucu perempuan.

kalau ikut adat seberang, kuat dah persatuan sedarah wanita kami ini.

wahai anakanda, semoga hadir kamu menjadi sinar gembira untuk mak abah kamu. mak yang ini insyaAllah takkan putus berdoa untuk kamu dan anak-anak mak yang lain.

27 Disember 2016

anak adalah anugerah terindah yang (mungkin) kita lupa untuk hargai.

abang hero sudah jarang bermanja dengan saya, akhir-akhir ini. sebenarnya, saya yang salah. saya yang jarang manjakan dia.  sejak dia masuk sekolah dan menjadi abang kepada dua adik; iya dua, saya seolah-olah lupa yang dia masih anak kecil yang perlu peluk manja dan kasih-sayang.

jadi, bila dia malam-malam mahu tidur sebelah saya, saya biarkan saja. dia mahu baring di atas riba saya ketika dalam kereta, saya biarkan juga. setiap kesempatan, dalam saya usaha untuk selesaikan tanggung jawab menyiapkan semua perkara sebelum keluar rumah bekerja, saya ambil masa untuk bantu dia bersiap dan sisirkan rambut biar kemas. saya asyik ingatkan diri supaya memandang matanya ketika dia bercakap dengan saya. bukan memandang telefon. saya ingatkan diri saya, agar mencium dahinya setiap kali dia ujarkan kata-kata manis bak gula. 

sepatutnya, saya tidak biarkan sahaja dia. dia masih lagi perlukan perhatian. bukankah sebab dia - si sulung, saya ini bergelar seorang mak? gelaran paling indah di dunia? saya asyik ingatkan abang hero, dia anak sulung. sudah besar. yang saya lupa ialah dia masih anak kecil saya - sentiasa akan begitu, saya yang sudah dewasa ini yang sepatutnya jadi contoh yang baik kepada dia dan adik-adiknya.

ada masanya, saya sudah tidak pasti lagi. 
mampukah saya menjadi seorang mak yang sempurna di mata anak-anak?

20 Disember 2016

susuk tubuh bukan untuk kebanggaan.

hentikanlah mempersendakan susuk tubuh orang. 
kamu, bukannya lawa dan sempurna manapun..

sekian.
-orang yang selalu dipersendakan-

02 Disember 2016

mana ada sama!

apa yang saya hadapi dengan tak akan sama dengan apa yang kamu hadapi. jadi, tak perlulah sibuk-sibuk mahu aturkan hidup kita begitu, begini.

hanya kerana kamu lapang dan boleh buat apa yang kamu mahu, tak semestinya kamu boleh paksa orang lain buat sama. hanya kerana kamu hati kering boleh tahan, tak perlulah kamu suntik hati orang lain jadi kering dan jahat sama.

kamu pergilah mereput dengan perangai tak semenggah kamu.

01 Disember 2016

bangun dan sedarkan diri.

untuk pertama kali dalam hidup saya, saya sedar sebenar-benar sedar yang hidup saya ini, saya yang kawal. saya mesti rancang, buat, usaha, doa dan istiqomah.  agaknya saya angkuh sangat fikir hidup saya teratur dan tak perlukan muhasabah sangat.

paling utama, saya tidak patut jadikan halangan, perkara negatif dan masalah sekeliling mengaburi pertimbangan dunia akhirat saya.

tersedar dan terduduk sekejap.

ya Allah.
terima kasih kerana masih sayangkan saya dan jentik hati saya pagi ini.

29 November 2016

rezeki

berapa ramai antara kita yang faham yang rezeki murah bukanlah wang ringgit, pangkat dan harta benda semata-mata?

masa yang lapang dan banyak perkara dapat dibuat.
melalui hari yang gembira.
semangat diri yang kuat.
jiwa yang sabar, tenang dan merasa cukup.
suasana pejabat yang seronok walau banyaknya kerja menanti disiapkan.
kawan-kawan yang baik.
bos dan penyelia yang memahami.
dapat banyak beribadah.
keluarga yang penyayang dan saling mengambil berat.

berapa ramai antara kita yang faham itu?

04 November 2016

seperti cinta kepada rangga.

puan.
apa yang kamu lakukan pada saya itu..

JAHAT.

17 Oktober 2016

runs in the blood, i suppose..

"caaaabar!" marah pwincess hero ditolak abangnya, adik hero yang tidak sabar-sabar mahu masuk ke bilik air. apalah salahnya kalau bersabar sedikit, ya abangnya.

"ama nonen enlkjdfqo ojdaohfi djqwodjqow nabnmhg..." sayup-sayup saya dengar dia menyambung bebelan tidak puas hati, siap muka penuh ekspresi. bahasa itu, hanya Tuhan dan dia sahajalah tahu. yang penting, dia mahu membebel.

hmmm.
sah anak saya.
tak perlu ujian DNA, whatsoever.

kihkihkih.

22 Julai 2016

cantiknya pinggan yang ada rama-rama berwarna-warni.

senangnya dalam hati.
dapat membeli set pinggan mangkuk idaman sekian lama.

boleh potong satu wishlist.
kih kih kih.

13 Julai 2016

delusion of grandeur.

yalah, yalah.
kamu sahajalah yang lebih bagus, lebih dikenali, lebih bijak dan lebih segala-galanya daripada yang lain.

saya memang tidak setanding sedikitpun.

12 Julai 2016

buat rugi saja.

marah sana, marah sini.
meroyan sana, meroyan sini.
mengamuk sana, mengamuk sini.
menengking sana sini situ sini merata-rata.

sebenarnya, apa yang kita dapat kalau asyik marah-marah?
apapun tak dapat.

habuk saja yang dapat. campur penat.

eh, kamu tak penat ke?

30 Jun 2016

mesti produktif.

hari ini, syukurlah saya produktif dan efisien (chewah!) dalam tugas saya. maklumlah saya terhanyut 'berperang' tempoh hari, kenalah bayar balik.

mungkin semangat datang membuak-buak memikirkan cuti lama akan menyapa dan semakin menghampiri.

senangnya dalam hati.

29 Jun 2016

doa.

bulan Ramadan ini, istimewanya banyak doa kita akan dimakbulkanNya.
insyaAllah.

oleh itu, perlulah saya banyak berdoa.
doa yang baik-baik untuk mak abah di kampung, diri sendiri, kanda dan anak-anak, serta kaum keluarga rapat yang tersayang.

kamupun, berdoalah yang baik-baik sama juga ya.

28 Jun 2016

kalau sudah rejeki, tak ke mana..

selendang koleksi edisi terhad yang saya ingat terlepas itu, rupa-rupanya masih rezeki saya.

khidmat pelanggan syarikat e-mel saya untuk meminta maaf atas pengalaman 'berperang' saya yang tidak manis semalam. lalu, dikhabarnya selendang saya masih ada cuma saya perlu membuat pembayaran secepat dapat untuk memiliki si cantik manis itu.

terus saya klik, klik apa yang patut. perkara sebegini memang tidak boleh dilengah-lengahkan!

kihkihkih.

27 Jun 2016

diam-diam, sudah!

dahulu, saya hairan ya amat kalau terdengar ada orang yang membeli tas tangan yang harganya; pada saya, agak tidak masuk akal. begitulah juga kalau membeli sehelai tudung yang harganya; pada saya, boleh beli 3,4 helai tudung yang berbeza.

agaknya begitulah kalau orang lain melihat saya kini. saya masih lagi normal, tidaklah sehingga berhabis-habisan yang tidak logik.

tapi saya sudah sampai tahap menunggu sedari jam 9 sehingga 1 petang -- semata-mata menunggu selendang koleksi edisi terhad yang saya sudah jatuh hati dek cantiknya dia, hanya untuk 'berperang' sakan tetapi berputih mata melihat stok habis licin disapu oleh pembeli tegar dalam talian lain yang jauh lebih hebat daripada saya.

menangis dalam hati sajalah..

26 Jun 2016

sedondon.

misi mencari baju melayu warna kuning cantik berseri selesai.

leganya ya amat!

13 Jun 2016

hadiah tak romatik ;)

kanda,
terima kasih atas cik rin, dapur baharu kita itu ya.
hadiah ulang tahun perkahwinan kita. 

memang dinda bersemangat sungguh mahu memasak kembali selepas ini!

12 Jun 2016

pilihan di depan mata.

saat kita berlumba-lumba mencari kemewahan hidup dan memajukan kerjaya kerana fikir itu sangat utama, kita mungkin lupa yang bahagia itu sebenarnya ada depan mata kita -- anak-anak dan pasangan kita. ada masanya ragam dan keletah mereka mampu bikin darah mendidih lebih panas daripada lahar gunung berapi. selalunya, ragam manis-manis sahaja yang mereka beri buat hati tercuit dan tidaklah kita akan mendapat diabetes pun kalau asyik manis begitu.

kita pilihlah yang baik-baik untuk buat kita gembira.
hidup ini penuh dengan pilihan, bukan?

10 Jun 2016

gula bukan penyebab utama diabetes.

"mak, sedapnya mak masak," kata abang hero.

kembang sungguh hati saya.
kembang tidak dapat kuncup kembali.

"kenapa mak suka masak?" dia bertanya pula. "hmmm, sebab mak suka tengok abang makan," saya balas ambil kenyit mata. apa, kamu ingat tak perlu mengurat anak sendiri? beli jiwa, namanya.

"mak masak sebab nak menggembirakan kitorang, kan mak?" sambil bertanya, tangannya tak tinggal menyuap makanan. eh, ke situ sudah dia. "siapa yang ajar abang cakap macam tu?" saya ingin tahu. maklumlah bahasa tahap tinggi sungguh.

"oh, tak ada siapa. abang sendiri tahulah," dia senyum manis amat. siap minta nasi tambah.

suapan saya terhenti sekejap. menunggu kanda menghabiskan solat maghrib. ingatkan selepas kanda selesai, saya mahu bercerita perbualan saya dangan abang hero. tetapi lidah saya agak kelu, perut pula tiba-tiba kenyang. 

kenyang terlebih gula dalam darah dek ayat-ayat manis anak sendiri.

09 Jun 2016

oh, kak ros!

dua petang yang lepas, sementara menunggu berbuka puasa.

abang hero bilang sama saya, "mak, mak ni istimewa kan?".  
kurang pasti bagaimana hendak menjawab, teragak-agak jugalah semasa mengangguk, "agaknyalah, nak. istimewalah agaknya."

"mak puasa ke? mak tak payah puasa 'kan?" tanyanya lagi.
dalam bingung saya menjawab, "eh, kenalah puasa. kan bulan puasa ni."

"kak ros kata perempuan ni istimewa, tak perlu puasa. kenapa mak puasa? mak 'kan istimewa?" sepatah-patah dialog kak ros upin & ipin diulang abang hero.

...

ah, sudah. 
apa yang boleh saya kata lagi? ini mesti kes tidak boleh puasa tu!

kak ros, ooooo kak ros. 
meh sini tolong jawabkan meh! hissssh!

07 Jun 2016

what more can you take of me?

kamu.
sedapat tidak, mahu memerah saya.
habis-habisan.

sudah-sudahlah tu.

06 Jun 2016

hari pertama Ramadan yang indah!

(i)
hari ini hari bermulanya Ramadan. 
semoga ramadan tahun ini terbaik daripada yang dahulu.


(ii)
pagi-pagi jugalah, anak-anak semuanya mahu menunjuk ragam. liat mahu mandi, tidak mahu dihantar ke taska. maklumlah, sudah seminggu bersuka ria di kampung.. hari ini rutin kembali seperti biasa.

bikin darah maknya ini mendidih saja.

sabar.. sabar.


(iii)
"sedaplah mak masak," bilang abang hero kepada kanda, bersungguh-sungguh.  pantas telinga saya menangkap -- tanda larinya paksi khusyuk solat Maghrib saya :D 

seusai memberi salam, abang hero sudahpun menunggu di sisi. dia ulang lagi, "sedapnya mak masak" sambil senyum manis amat.  terpana saya. hati tersentuh. mungkin lapar dek puasa buat abang hero berselera dengan lauk yang tak seberapa. mungkin juga dek saya; maknya, sudah terlalu lama tidak memasak, maka dapat makan air tangan mak kira 'rare' dan mengujakan. mungkin.

oh ya. mana ya, menu keluarga yang saya usahakan dua tahun dahulu? *selongkar laptop*

31 Mei 2016

tak bertuan.

kata en. wiki, ronin itu:

"..was a samurai with no lord or master during the feudal period (1185–1868) of Japan. A samurai became masterless from the death or fall of his master, or after the loss of his master's favor or privilege.  In modern Japanese usage, the term also describes a salaryman who is "between employers" or a secondary school graduate who has not yet been admitted to university."

saya bukan pelajar universiti, bukan juga samurai.
jadi, saya jenis ronin yang kedua itulah agaknya.

30 Mei 2016

lamanya tertangguh!

saya, sudah sangat kurang menjengah dapur. bukan macam dahulu yang ada sahaja saya hidangkan pada orang kesayangan.  sekarang? sebulan boleh dikira sekali, dua kali itu boleh kira kerap. alahai! 

sudah hampir dua tahun begitu.. :(

entahlah, sayapun tidak tahu kenapa. memang sudah terlalu lama. mesti paksa diri teruskan juga usaha menyiapkan menu keluarga yang tertunda dua tahun itu.

mesti. 

27 Mei 2016

darth vader.

bukan.
bukan saya yang buat itu.

itu sisi gelap saya yang buat.

(gurau ayah hero pada adik hero yang tidak mahu mengakui kesalahannya)

26 Mei 2016

yang positif sahaja, please?

orang yang membawa aura negatif ini, dia tidak akan penat. sikit pun tidak. dia jana tenaga daripada bara negatif dalam badannya -- membuak-buak meletus mengembang, tidak berhenti. semua serba tidak kena.

yang penatnya, kitalah..

kita yang lesu dek mengembleng tenaga sedaya-upaya menghalang amokan ablasa gelombang itu daripada menyelinap ke setiap inci ruang hidup kita.

mengah, kak oiii!

25 Mei 2016

change is good

sesekali berubah angin, molek juga.
kan?

salam blog, i miss you.
do you miss me?

11 Mei 2016

askar batalion datang melapor diri.

adik ipar saya melahirkan seorang hero, hari ini setahun yang lalu. namanya yang diberi, aduh manis bunyi dan maksudnya.

uwo dan atuok ada ramai sungguh askar, ya..

08 Mac 2016

dah lama naik pangkat.

sebenarnya, sudah lama abang hero dan adik hero naik pangkat.
tapi gelarnya di sini, tetap samalah. pening saya mahu fikir nama yang lain. malas, iya juga.

alhamdulillah, setahun sudah pwincess hero datang melengkap dan menyinari hidup kami. alhamdulillah, setahun sudah tidak tergambar huru-haranya kanda dan saya (ha ha!) meladeni permintaan dan ragam tiga makhluk kecil yang memberi seribu rasa pada makna kehidupan. 

pwincess hero, silalah menjadi penebat kepada gaya hidup terlalu aktif abang-abang kamu itu ya? ataupun mak syak, kamupun dua kali lima sahaja dengan abang kamu.  hmmmm.