30 Jun 2016

mesti produktif.

hari ini, syukurlah saya produktif dan efisien (chewah!) dalam tugas saya. maklumlah saya terhanyut 'berperang' tempoh hari, kenalah bayar balik.

mungkin semangat datang membuak-buak memikirkan cuti lama akan menyapa dan semakin menghampiri.

senangnya dalam hati.

29 Jun 2016

doa.

bulan Ramadan ini, istimewanya banyak doa kita akan dimakbulkanNya.
insyaAllah.

oleh itu, perlulah saya banyak berdoa.
doa yang baik-baik untuk mak abah di kampung, diri sendiri, kanda dan anak-anak, serta kaum keluarga rapat yang tersayang.

kamupun, berdoalah yang baik-baik sama juga ya.

28 Jun 2016

kalau sudah rejeki, tak ke mana..

selendang koleksi edisi terhad yang saya ingat terlepas itu, rupa-rupanya masih rezeki saya.

khidmat pelanggan syarikat e-mel saya untuk meminta maaf atas pengalaman 'berperang' saya yang tidak manis semalam. lalu, dikhabarnya selendang saya masih ada cuma saya perlu membuat pembayaran secepat dapat untuk memiliki si cantik manis itu.

terus saya klik, klik apa yang patut. perkara sebegini memang tidak boleh dilengah-lengahkan!

kihkihkih.

27 Jun 2016

diam-diam, sudah!

dahulu, saya hairan ya amat kalau terdengar ada orang yang membeli tas tangan yang harganya; pada saya, agak tidak masuk akal. begitulah juga kalau membeli sehelai tudung yang harganya; pada saya, boleh beli 3,4 helai tudung yang berbeza.

agaknya begitulah kalau orang lain melihat saya kini. saya masih lagi normal, tidaklah sehingga berhabis-habisan yang tidak logik.

tapi saya sudah sampai tahap menunggu sedari jam 9 sehingga 1 petang -- semata-mata menunggu selendang koleksi edisi terhad yang saya sudah jatuh hati dek cantiknya dia, hanya untuk 'berperang' sakan tetapi berputih mata melihat stok habis licin disapu oleh pembeli tegar dalam talian lain yang jauh lebih hebat daripada saya.

menangis dalam hati sajalah..

26 Jun 2016

sedondon.

misi mencari baju melayu warna kuning cantik berseri selesai.

leganya ya amat!

13 Jun 2016

hadiah tak romatik ;)

kanda,
terima kasih atas cik rin, dapur baharu kita itu ya.
hadiah ulang tahun perkahwinan kita. 

memang dinda bersemangat sungguh mahu memasak kembali selepas ini!

12 Jun 2016

pilihan di depan mata.

saat kita berlumba-lumba mencari kemewahan hidup dan memajukan kerjaya kerana fikir itu sangat utama, kita mungkin lupa yang bahagia itu sebenarnya ada depan mata kita -- anak-anak dan pasangan kita. ada masanya ragam dan keletah mereka mampu bikin darah mendidih lebih panas daripada lahar gunung berapi. selalunya, ragam manis-manis sahaja yang mereka beri buat hati tercuit dan tidaklah kita akan mendapat diabetes pun kalau asyik manis begitu.

kita pilihlah yang baik-baik untuk buat kita gembira.
hidup ini penuh dengan pilihan, bukan?

10 Jun 2016

gula bukan penyebab utama diabetes.

"mak, sedapnya mak masak," kata abang hero.

kembang sungguh hati saya.
kembang tidak dapat kuncup kembali.

"kenapa mak suka masak?" dia bertanya pula. "hmmm, sebab mak suka tengok abang makan," saya balas ambil kenyit mata. apa, kamu ingat tak perlu mengurat anak sendiri? beli jiwa, namanya.

"mak masak sebab nak menggembirakan kitorang, kan mak?" sambil bertanya, tangannya tak tinggal menyuap makanan. eh, ke situ sudah dia. "siapa yang ajar abang cakap macam tu?" saya ingin tahu. maklumlah bahasa tahap tinggi sungguh.

"oh, tak ada siapa. abang sendiri tahulah," dia senyum manis amat. siap minta nasi tambah.

suapan saya terhenti sekejap. menunggu kanda menghabiskan solat maghrib. ingatkan selepas kanda selesai, saya mahu bercerita perbualan saya dangan abang hero. tetapi lidah saya agak kelu, perut pula tiba-tiba kenyang. 

kenyang terlebih gula dalam darah dek ayat-ayat manis anak sendiri.

09 Jun 2016

oh, kak ros!

dua petang yang lepas, sementara menunggu berbuka puasa.

abang hero bilang sama saya, "mak, mak ni istimewa kan?".  
kurang pasti bagaimana hendak menjawab, teragak-agak jugalah semasa mengangguk, "agaknyalah, nak. istimewalah agaknya."

"mak puasa ke? mak tak payah puasa 'kan?" tanyanya lagi.
dalam bingung saya menjawab, "eh, kenalah puasa. kan bulan puasa ni."

"kak ros kata perempuan ni istimewa, tak perlu puasa. kenapa mak puasa? mak 'kan istimewa?" sepatah-patah dialog kak ros upin & ipin diulang abang hero.

...

ah, sudah. 
apa yang boleh saya kata lagi? ini mesti kes tidak boleh puasa tu!

kak ros, ooooo kak ros. 
meh sini tolong jawabkan meh! hissssh!

07 Jun 2016

what more can you take of me?

kamu.
sedapat tidak, mahu memerah saya.
habis-habisan.

sudah-sudahlah tu.

06 Jun 2016

hari pertama Ramadan yang indah!

(i)
hari ini hari bermulanya Ramadan. 
semoga ramadan tahun ini terbaik daripada yang dahulu.


(ii)
pagi-pagi jugalah, anak-anak semuanya mahu menunjuk ragam. liat mahu mandi, tidak mahu dihantar ke taska. maklumlah, sudah seminggu bersuka ria di kampung.. hari ini rutin kembali seperti biasa.

bikin darah maknya ini mendidih saja.

sabar.. sabar.


(iii)
"sedaplah mak masak," bilang abang hero kepada kanda, bersungguh-sungguh.  pantas telinga saya menangkap -- tanda larinya paksi khusyuk solat Maghrib saya :D 

seusai memberi salam, abang hero sudahpun menunggu di sisi. dia ulang lagi, "sedapnya mak masak" sambil senyum manis amat.  terpana saya. hati tersentuh. mungkin lapar dek puasa buat abang hero berselera dengan lauk yang tak seberapa. mungkin juga dek saya; maknya, sudah terlalu lama tidak memasak, maka dapat makan air tangan mak kira 'rare' dan mengujakan. mungkin.

oh ya. mana ya, menu keluarga yang saya usahakan dua tahun dahulu? *selongkar laptop*