30 Julai 2007

senangnyalah dalam hati.

menghitung jam dan saat menanti esok memang menggembirakan. bagai belut pulang ke lumpur. bergelumang sekejap sepuas hati, sebelum pulang ke lumpur orang sebulan kemudian. melonjak-lonjak hati mahu melihat wajah² tersayang. tak perlu lagi berVoIP atau berwebcam. besar harapan dan mohon perlindunganNya, agar selamat dalam perjalanan.

kalau MAS ada tunda² penerbangan pulang esok, saya kira dalam suratkhabar keesokan harinya akan terpampang wajah amuk saya. pun berkira-kira juga.. kalaulah ada pintu ajaib doraemon, saya akan sampai sekarang juga! kalaulah..

23 Julai 2007

cepatlah masa berlalu..

tidak sabar lagi menunggu hari pulang bercuti. hujung bulan ini. bukannya lama lagipun. tapi, rindunya pada keropok lekor, sate, sate minang, jagung manis yang dijual di tepi jalan dalam perjalanan pulang ke rumah, rambutan, durian, cempedak, dan panjang lagi.. lambatnya masa berlalu! bayangkan, lauk-pauk tengah hari masih panas asapnya meruap-ruap, air tangan Mak.. aih, rindunya!

selama itu juga saya tak menang tangan membeli-belah apa termampu untuk yang tersayang. tadi, saya sempat menyambar
beberapa pasang sutera asli Korea (kata pakcik itulah..hahaha). pejam mata sajalah tiap kali menghulur Won dan barang idaman bertukar tangan. Won inipun dari kerajaan sini, saya tak ubah seperti memulangkan kembali apa yang diberikan setiap bulan. tak kisahlah.. bukannya membazir cukai rakyat Malaysia ;).. saya diberitahu kedai tersebut memang terkenal di kalangan orang² kita di sini. sampaikan 아저씨 (pakcik) pun boleh bercakap melayu sikit² demi mengambil hati pelanggan.

apapun, rasanya semua yang patut dibeli, sudah ada dalam lambakan di tengah² ruang tamu. menunggu masa untuk dipadatkan ke dalam beg. itu, satu masalah besar juga.. agak² berapa tankah berat muatan saya nanti? *sigh*

18 Julai 2007

bumbung atap rumbia..

sudah hampir 3 minggu kami berpindah 얀구실 (lab). rutin setiap kali 학기 (semester) tamat. bolehlah kami berkenal-kenalan dengan lebih ramai orang lagi. alkisah kononnya. partition baru saya juga boleh tahan.. hampir dengan tingkap, agak jauh daripada pintu dan aircon. agak privacy..sama seperti 얀구실 yang sudah.

비가 (hujan) kerap turun kebelakangan. aturanNya untuk menyejukkan 여름 (summer). mungkin. kerana pada saya, suam² kuku saja bahang yang terasa. dan selama itu juga, air hujan yang membawa bau kepam dan hapak menitik-nitik dari siling atas saya. penyelesaian sementara sebelum ada orang (kalau ada) datang membaikpulih, rakan² meletak sekeping papan putih melindungi PC dan meja. sebahagian.

hari ini, setelah bercutiumum seharian, saya disambut dengan bau lebih kepam dan hapak. meja sangat kotor. lebih malang, sekepuk jurnal² yang menjadi rujukan menjadi mangsa. habis basah. siling di atas tidak mampu lagi menahan takungan hujan lebat semalam.

m
arah pun tidak guna. letih dah pun hendak marah². kalau saya marah², orang kata itu salah saya. balik² saya yang salah. kamu saja yang betul. cheh. siapa kamu untuk menilai saya. pergi cermin diri sendiri dahulu. maka, untuk tidak marah², saya cuba cari alasan untuk menggembirakan hati. boleh jadi ini adalah alasan TERBAIK untuk tidak datang ke 얀구실... kalau 호랑이 교수님 (si professor bengis) itu datang menyerbu menyiasat jadual saya, saya ada alasan yang sangat kukuh. betulkan dahulu bumbung atap rumbia saya ini. jika tidak.. wohohohho!

03 Julai 2007

hadapi dengan senyuman. mampukah?

sah. nagi tidak dapat menamatkan pengajiannya semester ini. kata panel, kajiannya terlalu bagus dibandingkan yang lain (duh?) dan dia perlu waktu lagi untuk menajamkan hujah² dalam laporan tesisnya. dia tetap akan pulang ogos nanti, kembali semula hujung tahun dan insyaAllah, akan bersama² saya mempertahankan tesis kami.

pedihnya hati mendengar, pedih lagi hati yang menanggung. ada masanya, kami seolah² sudah tidak mampu lagi untuk bertahan di sini. apakah dengan hasil yang bagus, maka kami perlu ditahan²? kalaulah saya di 'kasut' dia, mati saya pulang ke tanahair tanpa ijazah! selepas perit jerih, pulang dengan tangan kosong? perlu kembali semula semata² pertahan tesis! orang² lain mana faham kalau kita pulang tanpa sekeping sijil!

saya berharap benar, tiada lagi orang dari tanahair akan dihantar ke program ini.. menderita sepertimana kami. dunia akademik seharusnya suci murni, tidak diwarnai politik dan taktik kotor. cukuplah hanya kami tersiksa. hati yang dulunya daging lembut, kini sudah sekeras waja. wajah redup semakin mengeras. pandangan yang lembut menjadi tajam. oh, belum dikira rambut yang makin memutih dan menipis..

kalau kamu, masih mampukah untuk tersenyum? *sigh*