30 Julai 2006

cantik. dan praktikal.

buat para penggemar produk kecantikan, kota Seoul mungkin syurga dunia bagi kamu. sana sini wanitanya sangat menitikberatkan kecantikan dan fesyen. walaupun ada masanya saya merasakan deria fesyen mereka agak .., oh, saya tidak boleh menulis perkataan yang tepat di sini. menariknya, obsesi ini membawa kepada terhasilnya rekaan tempatan. dan produk kecantikan ala-ala 'Body Shop' acuan mereka sendiri. banyak sungguh, kalau mahu tahu. antara yang memikat hati saya ialah jenama theskinfood dan thefaceshop. menggunakan sumber semulajadi. dengan harga berpatutan di bawah 10,000W (won), semua yang perlu saya cari ada di dalam satu kedai. cawangannya merata-rata, hatta di stesen subway. paling membuatkan saya seronok meninjau-ninjau ialah cara produk-produknya dipakejkan. setanding dengan produk luar negara, malah lebih kreatif dan praktikal. yang penting: harga berpatutan. kalau dibandingkan dengan taraf hidup di sinilah.. sikap tidak pernah selesa dengan 'kerusi empuk di punggung' perlu dicontohi. boleh dikatakan ada sahaja rangkaian baru diperkenalkan bagi meneroka pasaran baru.

saya melihat senario ini sebagai usaha Korea meningkatkan ekonomi di dalam negara sendiri. pengajaran daripada zaman kemelesetan ekonomi, barangkali. ya, inilah satu-satunya negara yang mampu bangkit dalam jangka masa singkat sejak menjunamnya ekonomi Asia tahun 1990-an dahulu. dan muncul menjadi 'gergasi' dalam banyak bidang hari ini.

bukan barangan kecantikan sahaja. rekaan barangan elektronik, perabot dan pelbagai lagi turut membuatkan saya terliur. kemas, dan cantik. tanpa meninggalkan aspek praktikal. nyata, mereka membuat kajian sebelum memulakan langkah menghasilkan sesuatu. mereka rela menghabiskan peruntukan untuk R&D supaya lebih mudah merencana perjalanan dan tidak berundur sebaik sahaja mengorak langkah.

inilah yang saya paling suka. teliti, kreatif dan berdaya saing. di tanah air, bila lagi ya? saya yakin, kita pun mampu..

24 Julai 2006

hati yang tenang

sudah seminggu saya bercuti-cutian. bercuti-cutian benar.. sehinggakan saya tinggalkan segalanya, termasuklah ruang vakum saya ini. 'menariknya', saya tidak ke mana-mana sangat. selesa bertapa melepas semua lelah yang ditahan-tahan berbulan yang lepas. entah ke mana perginya hasrat untuk melawat-lawat tempat yang menarik, atau hasrat untuk mendalami hangeul. juga niat untuk meng'up load' gambar-gambar ke fotopages untuk tatapan sahabat di tanah air. kebanyakan masa saya dihabiskan dengan bermalas-malasan. tidur saya juga sangat lena dan hari-hari saya berlalu pantas. sungguh mendamaikan.

mungkin saya perlu menukar perkataan "bercuti rehat" kepada "berhibernasi". bukankah kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan? ;)


p/s:
buat amyz.. dan yang lain,
banjir itu bukan di sini..nun jauh di selatan. pihak berwajib di sini sangat cekap. apabila hujan berhenti saja, kita akan melihat lori-lori menyedut bah mengosongkan parit dan sungai yang melimpah. ya, hujan tidak berhenti-henti.. cuaca yang tidak menentu, usik adik-adik di sini, mungkin kerana terkejut dengan 'aura' kedatangan saya. dan seperti biasa: saya tidak bersalah.. *mata kelip-kelip*

13 Julai 2006

hangat yang suam.

hujan lebat akan mengiringi hari-hari musim panas. kata mereka, akan berterusan selama seminggu dua. sudah berlarutan selama sebulan, kini. anugerahNya untuk menyejukkan bahang yang melanda bumi Seoul. pada saya, tidaklah panas dibandingkan dengan cuaca di tanah air. suam-suam kuku sahaja, adanya. bezanya, udaranya amat kering. dan saya pula sudah terbiasa dengan udara kering dari selatan Thai ketika mengaji di utara tanah air, dahulu.

seperti biasa, fesyen singkat di sana sini mula berleluasa. waima dalam hujan sekalipun. hairan juga.. maklumlah, hujan-hujan begini. boleh tahan juga sejuknya. membolehkan saya bergaya dengan jaket nipis yang dibeli minggu lepas.. :)

selebat hujan yang turun, selebat itu jugalah saya 'dihujani' soalan-soalan "tak panaskah??". dengan tenang saya menjawab "aniyo". kasihan. saya yang bertudung, mereka yang rimas dan bimbang. beruntunglah pada mana-mana rakan senegara yang merantau ke negara yang sudah biasa dengan rakyat asing. di sini, asal ternampak orang asing, anggapan pertama mereka: datang ke mari untuk bekerja. ada kalanya saya menggunakan nama Seoul Tae Hakgyu untuk 'mendiamkan' mereka. saya diberitahu, bukan mudah untuk mereka ke situ. kiranya hebatlah saya ini. datang ke mari untuk mengaji di tempat pujaan mereka itu. oh ya.. maaflah.. saya memang nakal sedikit. sesekali.. ;)

saya tidak sabar menunggu saat cuti bermula. lambat benar rasanya jarum jam itu berlalu.. tik tok.. tik tok..

11 Julai 2006

kualiti

petikan dari akhbar Utusan, bertajuk "Sediakan panduan modal insan", antara lain memetik:

"Rata-rata pekerja yang agak kanan di Rolls Royce di United Kingdom yang saya temui telah bekerja antara 20 dan 30 tahun. Malah saya pernah berjumpa seorang pesara bekerja dengan syarikat tersebut selama 40 tahun. Saya cuba menyelidiki apakah rahsia pengurusan syarikat menyebabkan pekerja mereka agak komited dengan pekerjaan masing-masing. Salah satunya adalah memperkenalkan sistem pengurusan yang tidak memandang kelebihan kepada jawatan ketua. Ketua hanya dilihat sebagai satu jawatan dalam pengurusan sahaja. Dari segi pendapatan, ia hanya bergantung kepada pengalaman dan mutu perkhidmatan yang mereka berikan kepada syarikat.

Golongan pekerja muda juga diberi peluang untuk menjadi ketua kepada kakitangan yang lebih kanan dalam sesuatu projek. Sebagai contoh, ketua bagi satu projek yang saya terlibat adalah seorang jurutera yang hanya berumur 27 tahun. Dia terpaksa menguruskan kakitangan yang lebih kanan sehingga ada yang mencapai 55 tahun dan juga melibatkan lima negara dari pelbagai agensi di Eropah. Persekitaran tersebut cukup mengagumkan saya apabila melihat kerjasama diberikan oleh kumpulan yang lebih kanan. Sekurang-kurangnya bebanan pengurusan bagi kakitangan yang lebih kanan dapat dikurangkan kerana mendapat bantuan daripada kumpulan lebih muda.

Untuk bersaing di peringkat global, kita perlu menggalakkan persaingan di peringkat nasional. Persaingan ini akan menyebabkan kita akan kekurangan kepakaran dalam sesebuah syarikat. Anak syarikat perlu diwujudkan sebagai perunding, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembekal dan kontraktor."


alangkah bahagianya kalau-kalau satu hari nanti saya boleh ketemu pemimpin muda yang boleh mengajar sesuatu yang baru dan besar maknanya kepada saya.
orang muda yang bakal melapisi generasi masa kini pada masa akan datang. dan buat masa ini, alangkah bahagianya.. kalau-kalau mereka yang atasan saya satu ketika dahulu, sama-sama tahu dan sedar. malah, tidak takut dengan bayang-bayang sendiri.

doa saya, sepuluh, dua puluh tahun yang akan datang, saya masih lagi sedar.

10 Julai 2006

.: sayang disayang :.

agak cemburu. dan agak sunyi. terkenang rakan-rakan lain yang pulang bercuti. iya, lebih-lebih lagi, Avaz. dari Uzbekistan. kerana dia paling rajin saja mengusik saya. barangkali suka mendengar tawa saya yang sangat kuat itu. oh, saya cuba untuk berubah tetapi saya gagal. atau barangkali kerana mudahnya saya memahami Yongo semua, tanpa mengira pekatnya dialek masing-masing.

oh ya. mereka memanggil saya 'patasseugi'. atau 'dictionary'. tempat dirujuk sekira ada Yongo yang tidak difahami. pernah saya ditanya: "do you read dictionary everyday?" wah, soalan apa ini.. juga selalu ditanya: adakah Yongo bahasa pertama di tanah air? "No. 3rd or so, may be." jujur saya menjawab. mengundang kehairanan ramai. apapun, saya benar-benar berterima kasih. kepada ibu bapa saya. yang sanggup berhabis untuk anak-anak. dengan gaji yang tidak seberapa itu, dibelikan set ensiklopedia Brittannica untuk kami. dibayarnya bulan-bulan. semata-mata supaya mahir Yongo.

bukan tidak sayangkan bahasa ibunda sendiri. bayangkan, sukarnya untuk memahami kuliah dan nota dengan penguasaan Yongo yang sedikit. istilah-istilah yang digunakan sangat kompleks dan asing. profesor Jerman kacak bergaya pula, contohnya, selalu saja membuat lucu di dalam kelas. ada masanya hanya saya yang ketawa. selalu juga, saya yang dipandang jika ada percakapan yang lain kurang difahami. mulalah tu, suruh terjemahkanlah tu...

saya sebenarnya menyokong subjek Sains dan Matematik diajar dalam Yongo di tanah air. latihan awal. kelak, tidaklah terpinga-pinga. sedangkan saya merasakan tempias, apatah lagi rakan-rakan lain. syukurlah, keputusan semuanya baik-baik. lebih manis lagi, mereka dapat meraikannya dengan pulang ke tanah air masing-masing.

tidak mengapalah. saya pun bakal bercuti juga. 2 minggu. bermula ahad ini. apa aktiviti cuti nanti ya? mmmmm.. ya, saya perlu belajar Hangeul lebih banyak lagi. hwaiting, hwaiting!

*Yongo: Bahasa Inggeris