25 September 2006

manusia pencemburu.

hari kedua. pertama kali menyambut Ramadhan di negara orang. rasanya? sunyi.. tetapi jadual padat yang menghambat dan cuaca tidak begitu panas menyebabkan saya tidak begitu terasa sedang berpuasa. ditambah dengan tempoh berpuasa yang lebih singkat, tidak sedar rupa-rupanya sudah hampir waktu berbuka. semalam saya masih sibuk memasak bila azan Maghrib berkumandang.

kuih pelita. ais cendol. air tebu. murtabak daging. ayam percik. dan sate minang. paling saya rindu, suasana pasar Ramadhan. kenikmatan membeli-belah makanan. tiada rasa ragu.

selamat berpuasa semua. saya cemburu dengan kamu semua. sungguh.

19 September 2006

fikir dahulu. ya?

dalam perjalanan pagi tadi, saya ternampak lori tangki menyiram jalanraya. rupa-rupanya inilah sebab jalan-jalanraya di kotaraya ini bersih. selalu. teringat saya kepada soalan Sumon. orang Bangladesh. tanyanya, "is Kuala Lumpur clean? i can see KLIA is very clean." "of course," jawab saya. bohong sunat sedikit.

ada masanya KL sangat kotor. hairannya, tong sampah merata-rata disediakan. mana silapnya sikap orang kita. sini, saya rasa sangat susah untuk mencari tong sampah awam. kalau-kalau saya mahu membuang tin atau kotak minuman yang kosong, letih rasanya nak mencari tong sampah. betul, masih ada juga yang membuang sampah merata-rata. tetapi, mereka punya cukup wang untuk menggaji pekerja membersih. paling penting, mereka tanam sikap 'belonging' dalam hati mereka. maka, sebab itu kesedaran menjadi tinggi.

saya kira, orang kita patut berkesedaran lebih tinggi. agama kita sendiri sukakan kecantikan dan kebersihan, bukan?

dan tempat kerja lama dahulu. kalaulah orang-orang di situ sendiri tiada kesedaran, bagaimana kamu mahu mendidik rakyat yang berjuta-juta itu? kamu masih mahu mereka fikir dahulu? ya?

13 September 2006

dap dap ha-da

pada saat yang lain masih berseksi-seksian awal-awal musim luruh ini, saya sudah mula mengenakan jaket. kalau dapat, mahu pakai berlapis-lapis baju. kesibukan berganda. saya memilih untuk memasuki sebanyak kelas yang boleh, tidak berdaftar tapi. cuma teringin belajar sebanyak mungkin. "i cannot do that," kata Lorena. yang sentiasa dengan melankolia latinnya itu.

akhir-akhir ini, saya selalu tersasul bercakap dalam bahasa melayu ketika bersembang dengan kawan-kawan. ketika merungut mengadap buku-buku yang bertaburan di atas meja juga. ketika kepala pusing tiada idea memulakan tugasan. semalam, secara spontan saya bercakap "apa ni, sir..bukan macam tu!" ketika mengadap profesor jerman kacak bergaya. hmm, pedulikanlah. merekapun selalu tersasul. tapi saya tetap mengangguk-angguk. buat-buat faham sahajalah. :D

hanguk-mal saya juga semakin baik. tidaklah lancar mana. masih tergapai-gapai ketika disoal jiran. bulan depan, gilliran saya buat ucapan umum dalam mesyuarat program. dalam hangkuk-mal. pusing jadinya. kelmarin, Yu Zheng mendapat tepukan gemuruh sebaik sahaja menghabiskan ucapan umumnya. juga dalam hangkuk-mal. entah apa pula nasib pengucap pada minggu depan..

aihhhh...dap dap ha-da!

03 September 2006

barang yang lepas jangan dikenang.

sudah 2 hari. bertungkus-lumus membuat 'data recovery'. secara tak sengaja saya telah memadam dan 'reformat' 2 'partition' penting. asalnya hendak instal kembali OS. tersilap tekan. inilah padahnya membuat kerja dalam keadaan mamai dan tergesa-gesa.

tidak terkira jumlah fail hilang. fail kerja terdahulu. selama 5 tahun saya menyimpan semuanya. lagu-lagu. games. perisian-perisian kesayangan. semuanyalah. tetapi, saya masih bersyukur. partition yang menyimpan gambar-gambar kenangan masih selamat daripada 'kegatalan' jari menekan-nekan papan kekunci. phew..

entah kenapa, saya tidak merasa ralat sedikitpun. rasa lega amat. mengatasi rasa sedih. seperti satu beban terangkat dari bahu. mungkin kenangan-kenangan di pejabat lama itu menjadi beban senyap tanpa disedari. manakan tidak, kerja pertama. pejabat pertama. tempat yang mengajar banyak perkara. yang banyak membantu mematangkan saya. mungkin, selagi semua fail itu masih berada di dalam simpanan, selagi itulah saya 'terikat' dengan "kesah-kesah jaman dahulu". kan saya sudah jauh mengorak langkah, meninggalkan segalanya di situ. sayapun sudah mengucapkan selamat tinggal. lamaaaa dahulu.

barangkali ini 'merdeka' saya yang sebenarnya.

01 September 2006

baru

sinar matahari lembut menerangi pagi. angin bertiup nyaman. memberi petanda permulaan yang bagus. hari pertama, semester baru.

seronoknya, mulai semester baru ini, kami tidak perlu hadir ke yangusil pada hari sabtu. kata para kyosu: hujung-hujung minggu itu, pergilah.. pergilah berjalan-jalan serata Korea. jelajahlah setiap ceruk yang ada. kelak bawa pulang kisah indah-indah dari sini. eh, ini kata-kata saya ;)

bezanya, pada hari-hari isnin sehingga jumaat, sama seperti waktu pejabat. maka saya memilih slot seawal 7 pagi. bolehlah pulang setelah pukul 4 petang. nampaknya, hidup saya ini tidak pernah lari daripada suasana waktu pejabat. walaupun tidak perlu berpakaian formal. tak kisahlah. peraturan ini sesuai untuk 'morning person' seperti saya.

awal-awal pagi begini, jalanraya tidak sibuk. bas tidak berapa penuh. dan seperti biasa, saya orang pertama tiba di yangusil. dahulu, antara orang terawal tiba di pejabat. dahulu, tidak boleh pulang sehabis waktu. kini, ya, saya akan bergegas sebaik jam menunjuk 4! hmm...seronoknya..