26 April 2007

taklah..tak marah pun...

kamu panggil saya ajuma (makcik) kerana tudung saya ini. kamu ingat saya rasa diri saya kecil? apa, kamu ingat saya akan rasa bodoh semata-mata saya mengekalkan pendirian saya di kalangan kamu yang skeptik dan dangkal pemikiran? apa kamu fikir dengan pandangan jelik kamu itu, saya akan terduduk dan berundur ke sudut tersorok di dunia kamu? tidak. saya akan terus gagah berdiri. dan memandang tepat ke dalam mata kamu.

kamu ingat saya ini bodoh, tidak mampu bersaing dengan kamu. kerana kononnya kami wanita Muslimah ini tertekan, didiskriminasi dan terkongkong? apa, kamu mahu lihat slip keputusan peperiksaan saya? dan kamu mahu lihat apa yang ada dalam otak kecil saya? mahu lihat sejauh mana saya telah teroka pemikiran saya? baru kamu mahu diam?

kamu ingat saya cemburukan kamu kerana kamu boleh menayangkan rambut-rambut kamu yang pelbagai warna itu? apa, kamu ingat saya cemburukan rambut-rambut kamu yang semakin menipis itu? yang ada banyak helaian yang putih-putih? ingat saya akan terliur dengan kain-kain kamu yang tidak cukup untuk menutup telanjang kamu?

kamu kira saya iri hati dengan kamu-kamu yang jarang mandi ini? hmmm. kamu tidak lebih dari debu-debu yang menyesakkan nafas saya.

cheh!

23 April 2007

selesanya!

kebelakangan ini, tahap keselesaan hidup di lab semakin meningkat. pertama, kerana hari-hari berlalu sudah tidak berapa sejuk. cerahnyalah hari. kedua, aha, segan juga. tapi setiap kali selesai aktiviti ini, saya teruja ingin menulis tentangnya. tapi kalau ada yang penggeli, jangan dibaca. i have warned you..

sudah 2 minggu tandas di sini dilengkapi dengan tandas elektronik. bagaimana hendak saya ceritakan ya. ala-ala tandas-tandas hotel 5 bintang di tanah air. tersusun butang di tepinya. kamu hendak buat apa: cuci, laraskan muncung pemancut air, kuatkan pancutan air, haa suka hati kamulah. kita di tanah air, kalau tidak tandas elektronik pun, pasti ada pili air. hairan sungguh negara maju seperti korea ini hanya gunakan tisu semata-mata di tandas-tandas. sekarang baru hendak buat sepertimana tandas-tandas di tanah air. tak tahukah, penggunaan tisu keterlaluan ialah penggalak utama kepada pembalakan atau penebangan pokok-pokok? aha! tiba-tiba saja saya jadi pecinta alam ;)

sudah tidak perlu rusuh lagi bila mahu beraktiviti 'nature call'. selesai saja, tekan butang.
pilih saja, yang mana satu berkenan di hati. selesanya!!!

hi hi hi
.

14 April 2007

melankolik [ii]

benarkan saya berlari bebas meneroka bumi terhampar luas. umpama kuda liar putih keperangan.. kerana saya pasti. satu hari nanti, saya akan lelah. dan pulang. ke mana lagi jika tidak ke pangkuan awak.

dan benarkan saya terbang. seperti rama-rama.. saya tahu sayap saya rapuh. tapi saya tidak betah terkurung dalam gelas kaca. biarlah saya menikmati indahnya taman tiada rasa ragu. kerana saya pasti. satu hari nanti, hentian terakhir saya ialah di sisi awak. juga.

tapi jangan biar saya hilang dari jangkauan awak. pandanglah dari jauh, seadanya.. saya mahu begitu. jika tidak,
saya takkan tahu berhenti. saya akan terus berlari.. terus terbang. saya takkan sedar saya telah jauh. sangat jauh.

tetaplah di situ. dan benarkan saya tahu. bahawa awak selalu ada.

atau saya akan pergi. terus.

...

11 April 2007

tidaklah.

antara perkara saya rasa ralat sangat ialah soalan-soalan tidak penting tentang tudung yang saya pakai. "you should be comfortable. you don't have to be afraid. nobody from your country will know. here, everybody really wants to see your hair.." antara yang saya dengar semalam. kalaulah si Radek dari Poland ini bertanya dengan cara kurang sopan, saya sangat pasti penampar saya sudah melayang. memikirkan dia masih baru dan caranya yang berbudibahasa, maka patut saya jawab penuh hemah dan hikmah juga.

saya tidak malu saya bertudung di sini. dikelilingi rakan-rakan dari berbagai negara yang mempunyai banyak kekeliruan tentang status Muslimah. saya kira, saya perlu tunjuk contoh yang baik. saya musykil juga.. saya ini nampak seperti seorang yang didiskriminasikah? atau nampak seperti dikuasai lelakikah? huhu. kalaulah mereka tahu, tersangatlah ramai lelaki yang merasa tercabar dengan aura saya di tanah air.. *ayat riak..maaflah!*

ramainya rakan-rakan asing di sini, rata-rata berusia, kalau tidakpun bukan hingusan lagi. sudah makan garam terlebih. ramai yang penting-penting di negara asal. yang sangat tahu liciknya dunia. mungkin mereka tidak sedar, saya tua juga. sayapun tahu bagaimana untuk 'bermain' dalam gelanggang berlumpur ini.

"i choose to wear. and i like it. my hair is very beautiful I have to hide it. after all, it's for my husband's eyes only," balas saya dengan kenyitan mata. lagipun, apalah yang saya hendak risaukan. dengan bertudung sebeginipun sudah menarik banyak perhatian. dan mengundang tanda tanya ramai perempuan yang lain. maka, apa perlunya rambut saya lagi? ;)

10 April 2007

seronoknya!

cantiknya bunga ceri berwarna merah jambu. bumi Seoul sudah ada warna kembali! ahahaha! sana sini bunga. saya suka musim bunga. matahari naik awal. hari bermula dengan tiada orang lain yang menyesakkan nafas dan pemikiran.

"spring dalam bahasa melayu? mmm.. spring toing3x.." saya usik si dia. :p

semalam, sehabis makan tengah hari, Roy mengeluarkan bungkusan roti. pemanis mulut, katanya. saya hanya tersengih. namun ada sesuatu yang menarik pada bungkusan rotinya itu. terpampang nama 'Rotiboy'. uh? Rotiboy? bukan dari tanah air ini? saya pandang Roy, saya tarik bungkusannya. sah! Rotiboy pujaanku!!! jelas logo halal dan nama Malaysia di situ. Phorphan menjerit, "this is my favourite! very popular in my country!" dengan pelat siamnya. uh? sampai ke Thailand ya?

terasa hidup tiba-tiba berwarna kembali. kamu semua penggila 'Rotiboy', yang boleh beli bila-bila masa sahaja di KLCC, 1U, Subang Parade, Alamanda atau Midvalley, hmm, saya tidak cemburukan kamu. di Seoul pun sudah ada. woohoo! weehoo!

04 April 2007

deja vu

semua orang kelihatan gembira hari ini. manakan tidak, masing-masing sudah menerima biasiswa. yang sudah tertahan selama 2 bulan. 2 bulan yang sungguh derita. buku hendak dibeli. bil-bil perlu dibayar. tambang bas sudah naik! hai, terpaksa rancang kembali semua perkara.. kalau kos hidup di sini tidaklah setinggi mana, tidak mengapalah. ini tidak. harga untuk santap tengah hari sama seperti kamu makan 3 kali sehari di tanah air. *phew*

sudah lebih sebulan saya buntu..tidak dapat meneruskan tesis saya. mungkin saya sudah terlalu bosan. semua perkara tidak nampak baru lagi pada saya. deja vu.. ironi sungguh. semalam profesor kacak marahkan saya. kerana sudah lama saya tidak membincangkan kerja saya. kadang-kadang geram juga. dibandingkan dengan pelajar lain, profesor kacak sangat tegas dengan nagi dan saya. logiknyalah kan, mahu bincangkan apa jika otak sangat buntu? rasa bagai hidup dalam ruang vakum yang statik. tragik benar bunyinya.

deja vu. sedap sungguh bunyinya. mungkinkah boleh dibuat kajian yang memungkinkan saya menang hadiah nobel?