sedih amat melihat lambaiannya, saat teksi mula meninggalkan saya terpaku berdiri. senyuman manisnya 'tertinggal' dalam memori, bersama-sama kenangan pahit manis hampir dua tahun menjadi anak didik dia. risau sungguh dia melihat air mata saya yang tidak mahu berhenti. panik sekejap. dengan nada perlahan, saya ucapkan terima kasih dan ampun atas segalanya. dia, seperti selalu, merenung dalam. dan dia bilang, "i have learnt a lot of things, too.."
hari ini, profesor Jerman kacak bergaya pulang ke negaranya. dia takkan kembali semester hadapan, cumanya mungkin akan kembali sesudah itu. saya kira, dia mahu fokus dengan projek EU yang sekian lama menjadi buah hatinya.
semalam, saya temankan dia membeli-belah. hadiah Krismas untuk orang² tersayang. saya tuntut gaji sebagai 'personal shopper'. dia rasuah dengan makanan segera Lotteria. burger udang. rasanya, itulah pertama kali kami menghabiskan masa dengan tidak bertengkar. sekali pandang, umpama anak² kecil yang ketawa keriangan berkongsi cerita, tiada masalah dunia. hilang sebentar gelaran pelajar dan profesor.
saya tidak tahu bagaimana dia mampu bersabar dengan karenah saya.. dia selalu bilang, 'pe'el' saya 'really get on his nerves' dan membuatkan rambut coklat keperangannya memutih. saya pun tidak tahu kenapa saya 'berani' sangat dengan profesor yang seorang ini. barangkali sesiapa yang lalu-lalang di luar biliknya sudah maklum perbincangan kami selalunya 'panas' dengan pertengkaran. dia degil. saya juga.
dia antara sebab untuk saya ceria. stress. marah. letih. bersemangat. tidak bersemangat. a mixture of thousand feelings. dan dialah antara orang yang saya akan ingat, hormat, dan kenang selagi hayat masih ada, antara rencah dalam asam garam hidup di bumi orang.
safe journey, sir.. and tschüs!